UMNO Putrajaya Terus Santuni Rakyat, Ziarah Prihatin Wadah Utama
PUTRAJAYA, 7 Mei – UMNO Putrajaya merealitikan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap rakyat sebagaimana Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim, mengetuai program Ziarah Prihatin, di sini.
Beliau bersama UMNO Cawangan Meranti telah turun padang melawat pengundi serta ahli UMNO yang sedang berdepan masalah kesihatan dan memerlukan perhatian.
Menurut Ahmad Faisal, selain sumbangan yang disalurkan oleh pihak UMNO Cawangan, pihak UMNO Bahagian Putrajaya juga akan menyalurkan bantuan tambahan untuk meringankan beban mereka yang terjejas.
“Saya juga akan berhubung dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Putrajaya serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Putrajaya bagi menyemak status bantuan sedia ada serta meneliti bentuk sokongan lain yang boleh diselaraskan bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada bantuan kebajikan,” ujar beliau.
Program ini disertai oleh Ketua Wanita Cawangan, Ketua Puteri Cawangan, Setiausaha Cawangan serta barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Cawangan Meranti dengan meluangkan masa menziarah beberapa rumah ahli dan pengundi yang uzur, sambil menyampaikan sumbangan sebagai tanda sokongan dan ingatan kepada mereka.
Ahmad Faisal menegaskan bahawa UMNO tidak hanya aktif ketika musim pilihan raya, tetapi sentiasa bersama rakyat setiap masa dan ketika, tanpa mengira latar belakang politik atau kedudukan sosial.
“UMNO merupakan parti yang lahir daripada perjuangan rakyat, dan kami tidak akan sesekali lupakan tanggungjawab tersebut. Ziarah seperti ini bukan sahaja untuk menyampaikan bantuan fizikal, tetapi juga menjadi saluran untuk mendengar sendiri denyut nadi masyarakat serta memahami keperluan sebenar mereka di lapangan.
“Melalui pendekatan turun padang seperti ini, UMNO terus membuktikan bahawa ia bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi juga sebuah institusi perjuangan yang berfungsi sebagai jambatan antara rakyat dan agensi kerajaan serta institusi bantuan berkaitan.”
Tambah beliau, program Ziarah Prihatin ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UMNO Bahagian Putrajaya dalam memupuk kebersamaan, keprihatinan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Katanya, ia turut menjadi manifestasi komitmen UMNO dalam menjaga kebajikan rakyat dari pelbagai sudut sama ada aspek kesihatan, kebajikan, atau keperluan asas harian. – UMNO Online