UMNO Konsisten Pegang Teguh Prinsip Parti – Arrif Majid

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Prinsip UMNO jelas dan konsisten iaitu memperjuangkan dan mempertahankan Islam, Raja dan bangsa Melayu, tegas Ahli Majlis KerjaTertinggi UMNO, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid.

Jelas beliau, keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah atas titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) demi kestabilan politik negara selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Selepas PRU ke-15 atas titah YDPA, UMNO bergabung dalam Kerajaan Perpaduan ini yang mempunyai 18 parti gabungan, bukan hanya UMNO dengan Dap sahaja.

“UMNO tidak pernah membiarkan isu agama, bangsa dan raja dipermainkan. Ini konsisten dari dulu lagi.

“Walaupun dalam kerajaan yang sama, jika ada isu menjejaskan ketiga-tiga perkara tersebut, UMNO tidak pernah diam, malah akan menegur mana-mana pihak termasuk Dap,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut Ariff yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas menjelaskan bahawa UMNO tidak pernah tahaluf siyasi dengan Dap.

“UMNO tidak pernah bertahaluf siyasi dengan Dap. Tidak pernah mengeluarkan dalil untuk menghalalkan cara demi matlamat politik seperti Pas.

“Apatah lagi jauh sekali berpeluk dengan Dap demi menjatuhkan musuh seagama demi kuasa. Oleh itu, di mana Pas mengatakan UMNO mensucikan Dap,” tegasnya lagi.

Malah ujar Ariff, Pas yang membuang prinsip mereka demi mengejar kuasa ketika berada bersama Dap di dalam Pakatan Rakyat dan sebelumnya Barisan Alternatif.

“Bukan UMNO yang tukar daripada negara Islam kepada ‘Negara Berkebajikan’. Bukan UMNO yang buang perjuangan hudud.  Tapi Pas yang janji kepada rakyat.

“Mereka juga yang buang perjuangan mereka demi berkawan dengan Dap,” jelasnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79