UMNO 79 Tahun: Perkukuh Pemahaman Politik Melalui Sekolah Patriotik – Dr Masliha Harun
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Menjelang usia UMNO ke-79 tahun 11 Mei ini, pelbagai perubahan dan pendekatan dilaksana bagi memastikan kesinambungan perjuangan UMNO terus bersemarak khususnya dalam kalangan generasi muda sebagaimana Sekolah Patriotik UMNO.
Exco Wanita UMNO Malaysia, Dr. Masliha Harun menekankan pentingnya pendidikan politik yang berstruktur melalui Sekolah Patriotik UMNO untuk memperkukuh pemahaman generasi muda terhadap sistem politik, dasar kerajaan dan peranan UMNO dalam memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat.
Ini kerana katanya, inisiatif tersebut mampu membantu anak muda menghadapi pelbagai cabaran digital di samping mengajar mereka menilai maklumat kritis.
“Sekolah Patriotik UMNO dapat membantu generasi muda menghadapi cabaran dunia digital yang penuh dengan maklumat dan desakan sosial, serta mengajar mereka cara menilai maklumat secara kritis, terutama dalam menghadapi fenomena ‘fake news’ atau manipulasi media sosial yang kerap terjadi dalam konteks politik.
“Konsep kepimpinan baharu merangkumi peremajaan (rejuvenation), pemerkasaan (empowerment), suara (voice), dan perpaduan (unity).
“Konsep ini bertujuan menarik lebih ramai wanita muda profesional yang hebat dalam bidang masing-masing bagi mempersiapkan mereka untuk menghadapi arus politik yang dinamik dan mencabar,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP) berkata UMNO merupakan parti yang bersifat terbuka dan sentiasa menerima sebarang perubahan yang datang dari akar umbi.
“UMNO bersifat terbuka dan menerima sebarang perubahan dengan akar umbi dan sentiasa menyokong setiap keputusan yang telah dibuat oleh kepimpinan tertinggi.
“Sekolah Patriotik UMNO dan konsep kepimpinan baharu ini sebagai inisiatif penting untuk memperkukuh pendidikan politik generasi muda dan memperkuat akar umbi parti menjelang Hari UMNO,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, usaha ini akan diperluas ke seluruh negeri dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk wanita dan belia, bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan.
“Pendidikan politik yang diterapkan melalui Sekolah Patriotik ini bukan sahaja memberi penekanan kepada sejarah dan asas perjuangan UMNO, tetapi juga membina keyakinan serta daya saing golongan muda dalam arus politik semasa.
“Semua ahli parti terus bersatu hati dan mengutamakan semangat kekeluargaan demi memastikan UMNO terus relevan dan mampu menghadapi cabaran politik masa kini,” jelasnya.
Untuk rekod, UMNO akan menyambut ulang tahunnya yang ke-79 pada 11 Mei akan datang setelah ditubuhkan pada tahun 1946.
Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 kali ini lebih bermakna dengan Majlis Graduasi Sekolah Patriotik UMNO yang melibatkan penyertaan 48 orang pelajar. – UMNO Online