UMNO 79 Tahun, Bukan Sekadar Sebuah Perjuangan – Exco Pemuda

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Pemuda UMNO Malaysia melihat UMNO yang menjangkau usia perjuangannya 79 tahun bukan sekadar perjuangan dalam politik semata-mata sebaliknya jauh lebih daripada apa yang disaksikan hari ini.

Exconya, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berkata, 79 tahun dalam perjuangan bukan sekadar lambang ketahanan politik tetapi membuktikan komitmen yang berterusan dalam usaha memartabatkan bangsa dan negara.

“UMNO yang menjangkau usia 79 tahun bukan sekadar lambang ketahanan politik, tetapi bukti keutuhan perjuangan bangsa sejak sebelum merdeka. Perjuangan yang dirintis sebaiknya oleh kepimpinan terdahulu harus kita jaga dengan sebaiknya.

“Sebagai generasi muda dan generasi pelapis kepada kepimpinan parti sedia ada, insya-Allah kami akan berjuang sebaiknya dalam usaha memastikan apa yang telah dicapai dan apa yang telah diusahakan oleh kepimpinan kita diperkasakan.

“Sematkan dalam diri dan hayati sepenuhnya perjuangan parti selama 79 tahun. Tempoh berkenaan bukanlah satu tempoh yang pendek dan cukup lama dalam arus politik perdana,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Mohamed Khairul Azman seterusnya menambah perubahan yang segar dan dinamik semestinya seiring dengan perkembangan politik serta senario semasa kini.

“Pesanan saya kepada seluruh ahli UMNO khususnya kalangan Pemuda di pelbagai peringkat kepimpinan agar terus memperkukuh semangat setiakawan, mengutamakan idealisme perjuangan, dan menghindari politik perpecahan.

“Kita mahu UMNO kekal relevan dengan menyesuaikan pendekatan dan dasar kepada tuntutan semasa tanpa meninggalkan akar perjuangan dan terus membela agama, bangsa dan tanah air.

“Anak muda mesti diberi ruang dan keyakinan untuk membawa UMNO ke era pembaharuan yang segar dan dinamik,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79