Ulang Tahun Ke-79: UMNO Teguh Dengan Amanah Perjuangan – Hasmuni Hassan
KUALA LUMPUR, 7 Mei – UMNO akan menyambut ulang tahunnya yang ke-79 pada 11 Mei ini, satu usia yang menggambarkan betapa lamanya parti ini berdiri sebagai tiang seri perjuangan Melayu dan Islam di tanah air tercinta, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hassan.
Jelasnya, dalam tempoh hampir lapan dekad ini, UMNO telah melakar pelbagai sejarah besar negara, terutamanya dalam menuntut kemerdekaan, membina institusi kenegaraan, hinggalah membela nasib bangsa pada setiap detik getir negara.
“Namun… tidak dinafikan bahawa ada yang menuduh UMNO telah lari daripada perjuangan asalnya. Tuduhan sebegini wajar dijawab dengan jiwa yang tenang dan fakta yang jelas. UMNO tidak pernah lari daripada perjuangan, sebaliknya parti sedang menyesuaikan langkah dengan realiti semasa.
“Dalam landskap politik yang semakin berpecah dan tidak menentu, UMNO memilih untuk berada dalam Kerajaan Perpaduan bukan kerana menggadai prinsip, tetapi kerana ingin memastikan kestabilan negara dan kelangsungan suara Melayu dan Islam di meja rundingan kerajaan.
“Pengorbanan ini bukan kelemahan, sebaliknya ia adalah satu bentuk perjuangan yang lebih tinggi nilainya kerana meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah Hasmuni, hakikatnya dalam setiap ruang yang ada, UMNO terus mempertahankan dasar-dasar yang memperjuangkan kedudukan Melayu dan Islam.
“UMNO tetap mempertahankan dasar-dasar yang termaktub dalam Perlembagaan parti, iaitu memperjuangkan kedudukan Melayu dan Islam, tetapi kini dengan pendekatan yang lebih strategik, matang dan berpijak di bumi nyata,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu itu berharap agar akar umbi serta pendukung parti tidak goyah dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang.
“Kitalah tulang belakang parti ini. UMNO tidak akan mati selagi ada yang sanggup berjuang bukan untuk nama, tetapi untuk bangsa, agama dan tanah air.
“Marilah kita perbaharui sumpah perjuangan ini. Tanamkan dalam hati bahawa perjuangan ini bukan milik kita semata-mata, tetapi amanah daripada generasi terdahulu dan warisan untuk generasi akan datang.
“Biar seribu badai melanda, obor ini tidak akan padam. UMNO akan terus mara, demi Melayu, demi Islam dan demi Malaysia tercinta,” ujarnya. – UMNO Online