Terima Kasih KKDW, Penuhi Permintaan Untuk Keselesaan Rakyat – Awang Aslee

BEAUFORT, 7 Mei – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), atas keprihatinan beliau dalam memenuhi permintaan penduduk tempatan.

Ujarnya, usaha yang dilaksanakan oleh pemimpin berjiwa rakyat seperti TPM amat baik kerana memenuhi kehendak rakyat untuk membina dan menaik taraf jalan serta meluluskan tambahan pembinaan rumah baharu dan pembaikan kediaman di kawasan Parlimen Beaufort.

“Melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), sebanyak 10 buah rumah bina baharu dan 18 unit rumah dibaik pulih telah berjaya dilaksanakan sepanjang tahun lalu di kawasan Beaufort.

“Lebih membanggakan, awal tahun 2025 ini, KKDW sekali lagi meluluskan 10 lagi projek bina baharu dan 24 projek pembaikan rumah bagi memastikan lebih ramai rakyat Beaufort dapat tinggal dalam kediaman yang selesa dan selamat,” katanya kepada UMNO Online.

Bukan itu sahaja, menurut Awang Aslee, usaha menaik taraf jalan juga dilaksanakan di kawasan perkuburan di Kampung Kerukan yang kini memberi manfaat kepada penduduk bukan sahaja di kampung berkenaan, tetapi juga di kawasan sekitar termasuk Daerah Kuala Penyu.

“Bagi pihak masyarakat di Kampung Kerukan dan seluruh Daerah Kuala Penyu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana sudi meluluskan peruntukan dan memastikan projek untuk rakyat ini dilaksanakan dengan jayanya.

“Alhamdulillah, jalan yang dibina kini kelihatan lebih selesa dan saya percaya masyarakat di sini tentunya berasa lega dan bersyukur dengan adanya kemudahan ini. Begitu juga dengan kediaman PPRT, ada yang telah siap sepenuhnya dan ada yang masih dalam pembinaan,” katanya kepada UMNO Online.

Awang Aslee turut menekankan bahawa kelulusan projek ini merupakan bukti jelas kesungguhan kepimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan yang melaksanakan amanah demi keselesaan rakyat.

“Inilah yang dinamakan kepimpinan berjiwa rakyat. Apabila rakyat bersuara, pemimpin mendengar dan bertindak termasuklah di kawasan luar bandar yang sering berhadapan dengan kekangan infrastruktur asas.

“Ia juga mencerminkan komitmen kepimpinan yang beramanah dalam memperkukuhkan pembangunan infrastruktur luar bandar sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara secara inklusif.

“Semoga lebih banyak lagi projek dan kemudahan asas seperti ini dapat diteruskan demi meningkatkan kualiti hidup sama ada di bandar mahupun di luar bandar,” tambah beliau lagi.

Beliau juga berkesempatan menziarahi beberapa penduduk yang uzur dan warga emas di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Melikai, Menumbok dan Kerukan dengan menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada mereka yang memerlukan.

“Alhamdulillah, bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi keselesaan kepada mereka dalam menjalani kehidupan seharian.

UMNO/BN Beaufort akan terus komited untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan, selaras dengan prinsip perjuangan membela rakyat di akar umbi.” – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79