Persidangan Cawangan UMNO… Medan Bina Kekuatan Dari Akar Umbi – Mu’izz
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Persidangan UMNO cawangan-cawangan yang sedang berlangsung di seluruh negara menjadi medan untuk membina kekuatan parti dari akar umbi, kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Mu’izz Nasruddin.
Ujarnya, mesyuarat ini bukanlah dilaksanakan sekadar memenuhi rutin tahunan parti malah ia menjadi platform penting untuk ahli-ahli dan akar umbi menyuarakan pandangan mereka dalam usaha memperkukuhkan UMNO.
“Mesyuarat cawangan ini lebih daripada sekadar rutin tahunan. Ini adalah platform penting untuk ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi menyuarakan pendapat, memberi cadangan dan memastikan suara mereka didengari kepimpinan.
“Ahli perlu datang dengan persediaan. Jangan sekadar hadir untuk cukupkan korum atau sekadar mendengar tanpa memberi input. Agenda perlu diketahui lebih awal, supaya perbincangan jadi lebih fokus dan bermakna. Kalau ada cadangan, biarlah ia berasaskan fakta dan realiti semasa, bukan sekadar cakap-cakap kosong atau retorik yang tidak bawa manfaat.
“Pemimpin cawangan memainkan peranan besar untuk memastikan mesyuarat ini berjalan dengan baik. Bukan sekadar pengerusi mengetuai mesyuarat, tetapi juga pemudah cara yang memastikan setiap suara didengar dan setiap cadangan direkod dengan baik. Jangan biarkan mesyuarat bertukar menjadi sesi meluahkan rasa tanpa hala tuju. Apa sahaja yang dibincangkan perlu ada tindakan susulan, bukan tinggal sebagai perbincangan dalam bilik mesyuarat,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, mesyuarat ini juga merupakan ruang untuk ahli dan akar umbi mencari penyelesaian serta mengukuhkan parti.
“Di samping itu, para ahli dinasihatkan untuk menjaga adab dan etika semasa berhujah. Kita boleh berbeza pendapat, tapi jangan sampai merosakkan hubungan sesama ahli. Mesyuarat bukan gelanggang bertelagah, tapi ruang untuk mencari penyelesaian dan mengukuhkan parti. Kalau ada kritikan, biarlah ia membina dan bukan bertujuan menjatuhkan sesiapa.
“Seterusnya, fokuskan kepada hala tuju parti, bukan kepentingan individu. Jangan jadikan mesyuarat sebagai platform untuk mencari salah atau mengeruhkan keadaan. Sebaliknya, gunakan ia sebagai peluang untuk memperkukuh perjuangan UMNO, menyatukan ahli dan mencari jalan terbaik untuk memastikan parti terus relevan.
“Saya harap mesyuarat cawangan kali ini benar-benar menjadi platform untuk membina kekuatan UMNO dari akar umbi. Ini bukan sekadar mesyuarat biasa, tetapi menjadi medan setiap ahli untuk menyumbang idea dan memastikan parti terus bergerak ke hadapan,” katanya lagi.
Di samping itu, beliau berharap agar mesyuarat cawangan ini dapat berlangsung dalam suasana yang matang dan konstruktif serta hasil daripadanya perlu dibawa ke peringkat lebih tinggi.
“Saya berharap agar mesyuarat ini berlangsung dalam suasana matang dan konstruktif. Kita boleh berbeza pendapat… tetapi yang penting, perbincangan mesti menjurus kepada penyelesaian dan bukan sekadar menambah masalah.
“Saya juga berharap setiap cadangan dan pandangan yang dibawa oleh ahli tidak terhenti di peringkat cawangan saja. Ia perlu direkod, dianalisis, dan diangkat ke peringkat lebih tinggi untuk dipertimbangkan secara serius. Pemimpin di peringkat bahagian dan pusat juga perlu menunjukkan kesungguhan dalam mendengar dan bertindak atas suara akar umbi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa mesyuarat ini boleh menjadi titik permulaan kepada gerakan yang lebih besar dalam memperkukuhkan parti sekiranya ahli di akar umbi dalam menjalankannya dengan baik.
“Di samping itu, saya mahu lihat ahli-ahli UMNO datang ke mesyuarat dengan niat untuk membina, bukan untuk mencari salah. Fokus kita adalah untuk memperkukuh parti dan memastikan UMNO terus relevan dalam lanskap politik semasa.
“Kalau kita semua datang dengan semangat yang betul, mesyuarat ini boleh menjadi titik permulaan kepada gerakan lebih besar untuk memperkukuhkan UMNO. Akar umbi adalah nadi parti. Jika kita bersatu, kuat dan jelas dengan hala tuju, maka UMNO juga akan terus bangkit serta lebih bersedia menghadapi cabaran mendatang,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman