Mempertahankan Kepentingan Nasional, Keutuhan Petronas Dan Semangat Persekutuan
PENGUNDURAN syarikat minyak antarabangsa ConocoPhillips daripada projek eksplorasi laut dalam Salam-Patawali bernilai USD3.13 bilion di perairan Sarawak menjadi petanda jelas bahawa ketidaktentuan dalam dasar dan perundangan antara negeri dan Persekutuan boleh menjejaskan keyakinan pelabur.
UMNO memandang serius perkembangan ini sebagai ancaman langsung terhadap kestabilan ekonomi negara dan daya saing industri minyak dan gas Malaysia.
Petronas: Lambang Kejayaan Nasional Yang Perlu Dipertahankan
Sejak penubuhannya, Petronas telah menjadi simbol kejayaan nasional yang mengimbangi kepentingan ekonomi, sosial, dan fiskal negara. Melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974), Petronas memainkan peranan penting sebagai pemacu utama hasil negara, terutamanya dalam menampung keperluan pembangunan luar bandar, pendidikan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Ketika itu, Kerajaan Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa keutuhan Petronas perlu dikekalkan dan dilindungi daripada ancaman perpecahan kuasa yang boleh menghakis keberkesanannya sebagai syarikat milik negara.
Sepanjang era pentadbiran BN, dengan tokoh seperti Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, hubungan antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan disandarkan pada semangat kerjasama. Tuntutan autonomi diurus secara bijaksana dalam kerangka perlembagaan dan perundangan sedia ada, tanpa mengganggu keutuhan struktur negara.
Namun kini, pendekatan Sarawak berubah secara drastik yang memaksa naratif baharu sebagai “rakan kongsi setara” apabila tuntutan hak regulatori sepenuhnya dalam sektor petroleum dibuat. Perkembangan ini menimbulkan persoalan berkaitan situasi semasa dan masa hadapan untuk negeri dan negara secara holistik.
Semangat Persekutuan: Asas Kemajuan Bersama
UMNO/BN sentiasa yakin bahawa semangat persekutuan yang matang dan inklusif adalah asas kepada kestabilan dan kemajuan negara. Sepanjang sejarah, Sarawak telah menjadi rakan strategik yang kukuh dalam pembinaan negara.
Namun, perubahan pendekatan ke arah menuntut kuasa sepenuhnya dalam sektor petroleum melalui undang-undang negeri seperti Ordinan Perlombongan Minyak 1958 menimbulkan cabaran besar terhadap keharmonian sistem persekutuan.
Jika dibiarkan, tindakan unilateral seperti ini boleh mencetuskan kekacauan perundangan, mewujudkan sistem pelesenan bertindih dan mengundang risiko ke atas pelaburan asing serta ketidaktentuan operasi syarikat minyak dan gas.
Tentunya kerajaan tidak menolak tuntutan autonomi, tetapi segala rundingan mesti dijalankan secara harmoni dalam kerangka undang-undang persekutuan yang sedia ada.
Kesan Sosial dan Pekerjaan: Realiti di Sebalik Retorik
Langkah-langkah pengambilalihan fungsi Petronas oleh entiti negeri seperti Petros boleh mengundang kesan ke atas tenaga kerja. Pengurangan operasi Petronas bakal mencetuskan pengurangan tenaga kerja, manakala Petros mungkin belum cukup bersedia dari segi keupayaan teknikal dan skala untuk menyerap kakitangan ini. Kesan langsung – pengangguran, ketidakpadanan kemahiran, dan ketidaktentuan masa depan tenaga mahir tempatan.
Sebarang usaha memperkasa hak negeri mesti dilakukan dalam semangat persekutuan yang matang dan konstruktif. Seperti rundingan strategik di antara Sarawak dan Petronas perlu kembali ke meja rundingan dengan kehadiran Kerajaan Persekutuan.
Pematuhan undang-undang persekutuan: PDA 1974 perlu dikekalkan sebagai undang-undang induk petroleum negara. Fokus kepada pembangunan hiliran, Sarawak wajar memperkukuh sektor hiliran – petrokimia, penapisan, dan logistik – dengan sokongan teknologi dan pelaburan daripada Petronas.
UMNO mempertahankan kepentingan nasional, keutuhan Petronas sebagai lambang kejayaan Malaysia, dan semangat persekutuan yang telah terbukti membawa kemajuan kepada seluruh rakyat.
Masa depan Malaysia tidak terletak pada pemisahan kuasa yang melampau, tetapi pada semangat kerjasama, perpaduan dan kebijaksanaan dalam mentadbir sebuah negara Persekutuan yang kompleks dan pelbagai bangsa.
OLEH: MOHAMED SHAKIR MOHAMED OSMAN
Penulis ialah ahli UMNO Cawangan Shah Alam – Seksyen 8