Masalah Air Meruncing, UMNO Sabah Desak Tindakan Segera Demi Rakyat

KOTA KINABALU, 7 Mei 2025 – Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed, menggesa pihak berkuasa agar segera menangani krisis bekalan air terawat yang semakin membimbangkan di beberapa kawasan sekitar Sabah, khususnya di daerah Putatan dan kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah.

Menurut beliau, aduan telah diterima melalui aplikasi WhatsApp mengenai ketiadaan sumber air terawat di kampus UiTM Sabah serta beberapa kampung di daerah Putatan seperti Kampung Ketiau, Kampung Serigai, Taman Desa Ketiau, dan kawasan sekitarnya.

“Bagi kawasan kampus UiTM, saya dimaklumkan bahawa tiada bekalan air terawat disalurkan dari luar dan kawasan ini termasuk dalam kawasan Sepanggar yang diketahui menghadapi pelbagai cabaran berkaitan isu air.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada projek Telibong II benar-benar memberi manfaat atau sekadar memenuhi keperluan industri di kawasan ini sahaja,” katanya.

Jeffery turut menegaskan bahawa pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak seharusnya mengabaikan kebajikan penghuni kampus UiTM dan perlu memastikan masalah ini tidak berpanjangan.

Bagi kampung-kampung di daerah Putatan yang terjejas, beliau menyeru pentadbiran daerah serta pimpinan kampung agar lebih proaktif dalam menyampaikan maklumat kepada pihak kerajaan negeri.

“Jangan tunggu penduduk kampung bersuara. Pihak JANS perlu mempercepatkan penghantaran bantuan air terawat ke kampung-kampung yang terkesan,” tegas beliau.

Jeffery melahirkan kebimbangan terhadap isu bekalan air di negeri ini yang dilihat berlarutan tanpa penyelesaian tuntas meskipun telah lama dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

Beliau menyifatkan situasi yang dialami rakyat sebagai tidak wajar dan menyeru agar tindakan segera diambil demi kesejahteraan masyarakat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79