JS-SEZ: Pemacu Penting Capai Matlamat Maju Johor 2030 – Hasni
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal menjadi pemacu penting ke arah untuk mencapai matlamat Maju Johor 2030, kata Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, ia dibangunkan sebagai prototaip untuk penambahbaikan hubungan rentas sempadan Johor-Singapura generasi baharu.
“JS-SEZ bukan sekadar satu projek. Ia adalah langkah strategik Kerajaan Negeri Johor untuk membina masa depan negeri ini. Dalam program ‘JS-SEZ 360°: Beyond the Hype’ di CEREBRUM, Menara KOMTAR, saya tekankan pentingnya inisiatif ini sebagai usaha menangani isu ‘brain drain’ dan mewujudkan asas ekonomi baharu yang lebih inklusif serta mampan.
“JS-SEZ dibangunkan sebagai prototaip penambahbaikan hubungan rentas sempadan Johor-Singapura generasi baharu. Ia membawa visi mewujudkan ekosistem inovasi yang progresif, terbuka dan berteraskan keterangkuman dalam memastikan manfaat turut dinikmati oleh tenaga kerja tempatan, khususnya warga Johor serta komuniti akar umbi.
“JS-SEZ menyasarkan 50 syarikat multinasional dan 20,000 pekerjaan berkemahiran tinggi. Gaji permulaan antara RM4,000 hingga RM5,000 akan ditawarkan kepada graduan tempatan. Ini penting untuk menarik dan mengekalkan bakat muda Johor agar terus menyumbang di negeri sendiri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Jelasnya, keyakinan pelabur terhadap potensi JS-SEZ semakin kukuh apabila Negeri Johor telah menerima RM27.4 bilion pelaburan baharu dalam suku pertama tahun 2025.
“Pelaburan yang diterima juga sangat memberangsangkan. Pada tahun 2024, Johor mencatat RM48.5 bilion pelaburan yang diluluskan. Dalam suku pertama 2025 sahaja, kita telah menerima RM27.4 bilion pelaburan baharu. Ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi JS-SEZ semakin kukuh.
“Selain itu, Kerajaan Negeri Johor turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat melalui Majlis Pembangunan Bakal Johor (JTDC), Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor, dan fakulti kecerdasan buatan (AI) pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Semua ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk membina Johor yang lebih inklusif, progresif dan lestari.
“Hubungan Johor dan Singapura pula terus dilihat sebagai kerjasama saling melengkapi. Kita bukan bersaing, tetapi bergerak bersama. Dengan pelaksanaan ‘super corridor’ dan pengurangan birokrasi, JS-SEZ akan menjadi pemacu penting ke arah mencapai matlamat Maju Johor 2030,” katanya lagi. – UMNO Online