Dr Ustaz Yusri Santuni Veteran UMNO, Ziarah Kasih Penduduk Ayer Kuning
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri baharu Ayer Kuning, Dr Ustaz Yusri Bakir terus komited memberikan khidmat baktinya kepada rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada dirinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu.
Memanfaatkan setiap peluang yang ada, beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian berbesar hati bersama dengan veteran UMNO Tapah, sebagai penghargaan kepada mereka yang menjadi pendukung parti, terus bersetia dalam membawa obor perjuangan parti keramat ini.
“Ramah mesra anjuran Veteran UMNO Tapah menjadi detik yang amat bermakna. Semoga ukhwah yang terjalin ini terus mekar mewangi, disemai dengan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur serta kasih sayang yang tulus ikhlas.
“Terima kasih atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai, kalian adalah tunggak kekuatan perjuangan kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu menerusi perkongsian terdahulu beliau turut berkongsi kehadirannya ke Changkat Petai dan Batu Masjid bagi melakukan ziarah kasih, berkunjung ke rumah penduduk setempat serta bertanya khabar.
“Alhamdulillah, selesai sambung sesi ziarah kasih ke kawasan Changkat Petai pula petang ini dapat bersua muka, bertanya khabar dan berkongsi senyuman dengan penduduk setempat, rasa syukur tak terucap.
“Terima kasih atas sambutan mesra dan layanan ikhlas yang diberikan. Semoga ukhuwah ini terus erat, dan semua warga Changkat Petai dikurniakan kesihatan yang baik serta dilimpahi rahmat dan rezeki berpanjangan.
“Berkesempatan menziarahi masyarakat di kawasan Batu Mesjid, menyantuni dan bertanya khabar dalam suasana penuh mesra. Singgah berjumpa dengan En. Shamsudin Mat Yit, seterusnya menziarahi Pn. Salwa diikuti dengan Hj. Taha Ahmad.
“Alhamdulillah, pertemuan yang sederhana tetapi sangat bermakna. Semoga mereka semua dikurniakan kesihatan yang baik dan kesejahteraan yang berpanjangan. Sama-sama kita doakan agar urusan pembedahan Pn Salwa dipermudahkan. Insya-Allah,” ujar beliau
Untuk rekod, Dr Ustaz Yusri pada PRK lalu berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru apabila meraih 11,065 undi. – UMNO Online