UMNO 79 Tahun: Tetap Jadi Harapan, Bawa Aspirasi Rakyat – Zuhir Ghazali

KUALA LUMPUR, 6 Mei – UMNO yang bakal genap berusia 79 tahun pada 11 Mei ini bukan sekadar simbol sejarah tetapi sebuah parti yang terus menjadi harapan rakyat, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Zuhir Ghazali.

Menurutnya, masa depan UMNO bergantung kepada keberanian parti yang melakukan perubahan, mendengar suara rakyat dan berpegang kepada prinsip perjuangan tulen.

Beliau percaya UMNO yang berpaksikan asas perjuangan demi agama, bangsa dan negara akan terus kekal relevan.

“Saya percaya masa depan UMNO ini bergantung pada keberanian kita untuk berubah, mendengar suara rakyat, dan kembali memegang prinsip perjuangan yang tulen, keadilan, maruah, dan perpaduan.

“UMNO mesti tampil sebagai parti yang berjiwa Islam, progresif dalam tindakan dan nasionalis dalam nilai yang menyatukan rakyat, bukan memecahbelahkan mereka.

“Kita tak perlu jadi parti nostalgia. Kita perlu jadi parti masa depan dan selamat hari UMNO ke-79. Perjuangan ini belum selesai,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Zuhir berkata kepentingan UMNO adalah untuk kekal sebagai parti yang berwibawa dan mampu bawa aspirasi rakyat.

“UMNO mesti bergerak seiring dengan kehendak rakyat tanpa meninggalkan prinsip perjuangan asal iaitu pertahankan agama, bangsa dan tanah air.

“Sambutan ulang tahun ini bukan sekadar mengingati sejarah tetapi menjadi titik permulaan untuk kita perbaharui tekad demi kelangsungan parti,” katanya lagi.

UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 sebagai wadah perjuangan kemerdekaan dan hak-hak Melayu serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit