Persidangan Cawangan: Kekuatan UMNO Bermula Dari Akar Umbi – Mohd Zaidy

JEMPOL, 6 Mei – Kekuatan UMNO terletak pada akar umbi, dan peranan anggota cawangan sebagai nadi penggerak utama dalam membina kepercayaan rakyat terhadap parti serta menjamin kelangsungan perjuangan di peringkat nasional.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menegaskan perkara tersebut selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Bahau, baru-baru ini.

Menurut beliau, persidangan cawangan bukan sahaja berfungsi sebagai medan untuk melapor dan merancang aktiviti, malah menjadi platform muhasabah yang penting bagi menilai kekuatan serta mengenal pasti ruang penambahbaikan demi memperkukuh parti.

“Mesyuarat cawangan adalah medan muhasabah dan perancangan yang penting. Ia mencerminkan kekuatan akar umbi yang menjadi nadi perjuangan parti.

“Saya yakin dan percaya, dengan semangat kebersamaan, perpaduan, dan iltizam yang tinggi, UMNO akan terus memainkan peranan yang cemerlang dalam memperjuangkan nasib rakyat serta menyumbang kepada kestabilan politik dan pembangunan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut menyeru ahli UMNO di semua peringkat agar terus menyantuni masyarakat dengan pendekatan mesra rakyat iaitu mendekati, membantu dan mendengar suara hati mereka.

Tegasnya, UMNO hanya akan terus relevan sekiranya terus berkhidmat dengan ikhlas dan menjadi saluran yang menyelesaikan permasalahan rakyat.

Dalam masa yang sama Mohd Zaidy juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada anggota UMNO di peringkat Cawangan yang menggalas tanggungjawab melaksanakan persidangan parti.

Beliau menyifatkan kehadiran dan komitmen tinggi para ahli sebagai satu cerminan kekuatan akar umbi yang menjadi tunjang perjuangan UMNO selama ini.

“Saya berasa amat gembira dan berbangga melihat semangat juang serta komitmen ahli-ahli UMNO yang terus teguh berpegang kepada perjuangan parti. Inilah kekuatan sebenar UMNO iaitu semangat yang tidak pernah luntur walau diuji zaman,” tambahnya.

Beliau juga berharap agar persidangan peringkat Cawangan berjalan dengan lancar, penuh hikmah dan menghasilkan keputusan yang dapat memperkukuhkan lagi hala tuju perjuangan parti dan ideanya dapat diangkat ke peringkat bahagian dan pusat.

“Teruskan usaha murni, kukuhkan perpaduan, dan insya-Allah UMNO akan terus mara ke hadapan sebagai parti yang diyakini rakyat,” tegas beliau yakin.

Persidangan cawangan UMNO seluruh negara diadakan bermula 7 April lalu dan akan berakhir pada 25 Mei yang akan disusuli mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian bermula 9 Jun hingga 27 Julai.

Menyusul kemudian ialah Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit