Musliati Saran Parti Lain Fokus Strategi Sendiri, Jangan Sibuk Urusan UMNO/BN Sabah

KOTA KINABALU, 6 Mei – Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin, menegur segelintir pemimpin parti lain yang dilihat terlalu sibuk mencampuri urusan UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah, terutamanya berkaitan pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut Musliati, fokus seharusnya diberikan kepada penyusunan dalaman parti masing-masing serta strategi pengagihan kerusi dalam gabungan sendiri, bukan mempersoalkan pendirian UMNO atau BN.

Beliau turut menyelar kenyataan seorang pemimpin parti lain yang mendakwa BN seolah-olah “melukut di tepi gantang” dalam kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), serta mempersoalkan mengapa UMNO tidak bertanding solo seperti dalam PRN 2018.

“Tuduhan itu dangkal dan tidak berasas. Perlu diingat, pada PRN 2018 BN memang bertanding secara solo, dan ketika itu PBS adalah sebahagian daripada BN. Tapi apabila kalah, mereka yang paling awal melompat keluar,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Musliati turut menegaskan bahawa kerjasama antara BN dan PH pada PRN kali ini adalah selari dengan kedudukan mereka sebagai komponen Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Logikkah kalau di peringkat pusat kita bekerjasama, tetapi di Sabah mahu bertanding sesama sendiri? Pengerusi PH ialah Perdana Menteri manakala Pengerusi BN ialah Timbalan Perdana Menteri. Tentu sekali kita mahu bergerak sebagai satu pasukan,” tambahnya.

Beliau turut menekankan kekuatan unik gabungan ini di Sabah, yang terdiri daripada gabungan parti nasional dan parti tempatan.

“BN ada PBRS, PH ada UPKO. Gabungan ini ibarat ‘2 dalam 1’ iaitu ada elemen lokal dan nasional. Semua pemimpin kami di Sabah adalah anak jati Sabah, bukan dari Semenanjung. Ini kekuatan kita,” katanya.

Musliati turut menyeru semua pihak untuk berhenti bermain politik perpecahan, sebaliknya menumpukan kepada usaha membina semula keyakinan rakyat menjelang PRN yang semakin hampir. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit