Mereka Yang Buta Sejarah Sahaja Nafi UMNO Sebagai Simbol Melayu – Ruzaini
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Mereka yang buta sejarah atau sengaja tidak mahu menerima hakikat sahaja yang akan menafikan UMNO adalah simbol Melayu di negara ini, tegas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Ruzaini Rais.
Beliau juga mempersoal kononnya PPBM mahu menggantikan parti keramat ini, sambil menyifatkan ia sebagai mustahil kerana diibarat seperti ular lidi hendak menelan naga.
“Apakah PPBM lebih baik daripada UMNO? Pertimbangan jujur akan mendapati, tidak ada kelebihannya bagi PPBM dalam memperjuangkan kesucian Islam, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan negara jika hendak dibandingkan dengan UMNO.
“UMNO terlahir atas semangat penyatuan Melayu bagi menuntut kemerdekaan. Bukan parti yang lahir atas perasaan dengki dan dendam,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ruzaini dalam pada itu berkata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika diasak oleh Perdana Menteri ketujuh untuk membubarkan UMNO juga tidak dilayan sekaligus membuktikan komitmen dalam membawa obor perjuangan parti.
Katanya ini kerana prinsip perjuangan adalah lebih penting bagi UMNO daripada melayan kepentingan politik individu-individu yang mempunyai rekod buruk dalam nilai kesetiaan.
Menurut ia termasuk segelintir pihak yang sanggup menikam rakan-rakan demi kepentingan politik peribadi.
“UMNO tidak akan menerima pelawaan untuk membubar UMNO bagi menyertai PPBM,” ujar beliau.
Mengulas lanjut beliau berkata tiada sebarang usul dikemukakan dalam persidangan cawangan yang sedang berlangsung ketika ini yang menerima pandangan tersebut.
Jelas Ruzaini ini kerana ahli-ahli yang berada dalam parti ketika ini merupakan ahli UMNO yang setia dengan parti.
“… yang tidak setia, sudah lama melompat meninggalkan parti ini. Mereka (yang setia) ini sanggup mempertahankan UMNO dengan apa cara sekalipun.
“Tentu sekali mereka tidak akan membiar UMNO dikorbankan semata-mata mahu bersama parti separuh masak, yang tidak jelas hala tuju perjuangannya untuk mengambil alih tempat UMNO,” katanya.
Respon diberi Ruzaini itu sebagai membalas kenyataan berulang kali Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai kesediaan bekerjasama dengan UMNO. – UMNO Online