Kerajaan Tegas Lindungi Dasar Utama Negara Dalam Rundingan Bersama Amerika Syarikat – Azalina

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa Kerajaan MADANI kekal komited untuk melindungi dasar utama negara termasuk hak Bumiputera, keperluan vendor tempatan dan perlindungan terhadap sektor strategik dalam sebarang rundingan dengan pihak luar, termasuk Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, sebarang cadangan dasar yang memerlukan kelulusan akan melalui proses semakan menyeluruh termasuk di peringkat Kabinet dan dibentangkan di Parlimen jika perlu.

“Ayuh rakyat Malaysia, kita bersatu hati bersama-sama menghadapi cabaran ini dan insya-Allah saya percaya kita mampu mengharunginya,” kata Azalina dalam satu kenyataan susulan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam.

Mesyuarat khas itu diadakan bagi memberi penerangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dampak pengumuman pentadbiran Amerika Syarikat berkaitan pengenaan tarif terhadap Malaysia serta ikhtiar-ikhtiar yang sedang diambil Kerajaan MADANI dalam mendepani situasi ini secara terurus.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjelaskan bahawa meskipun rundingan bersama Amerika Syarikat ketika ini masih berlangsung pada peringkat awal, namun kesediaan Amerika Syarikat untuk berunding dengan lebih lanjut diharapkan akan membawa kepada penyelesaian yang terbaik,” katanya.

Kerajaan MADANI ujarnya, sedang mengambil ikhtiar-ikhtiar sewajarnya bagi menangani situasi ini secara teratur dan berpandukan prinsip kedaulatan serta kepentingan rakyat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit