UMNO Sentiasa Perjuangkan Melayu, Islam Dalam Kerangka Malaysia Majmuk

KUALA LUMPUR, 5 Mei – UMNO sentiasa memperjuangkan hak Melayu dan agama Islam berdasarkan kerangka Malaysia yang majmuk, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez.

Jelasnya, UMNO menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak semua kaum namun semua kaum harus menghormati kedudukan istimewa orang Melayu di negara ini.

“Kita menghormati pandangan rakan-rakan dalam komponen Barisan Nasional (BN). Namun, UMNO sejak dahulu lagi memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak semua kaum.

“Dalam semangat muafakat, setiap kaum harus menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan rakan-rakan komponen BN untuk saling menghormati sensitiviti masing-masing dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris perasaan kaum majoriti.

“UMNO bukan parti rasis, tetapi parti yang memperjuangkan hak dan maruah Melayu dalam kerangka Malaysia majmuk. Kita sentiasa membuka ruang untuk semua kaum menyumbang kepada pembangunan negara, namun prinsip-prinsip asas negara tidak boleh dipersoalkan.

“Sebagai rakan kongsi politik, kita harus saling menghormati sensitiviti masing-masing. Jangan kita mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris perasaan kaum majoriti, apatah lagi ketika rakyat memerlukan perpaduan,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati anak muda Melayu agar lebih berhati-hati dan perlu fikir mendalam sebelum menerima hakikat bahawa Malaysia boleh dikuasai oleh bukan Melayu.

Beliau berkata, walaupun kebanyakan anak muda Melayu berpandangan bukan Melayu juga berhak untuk memerintah, namun kenyataan itu perlu dilihat daripada sudut realiti sosial dan sejarah beradaban negara.

Memberi respons kepada kenyataan tersebut, salah sebuah parti komponen BN menegaskan bahawa Malaysia bukan milik mana-mana kaum secara eksklusif, sebaliknya adalah milik semua warganegaranya tanpa mengira kaum.

Ujar pihak tersebut, masa depan negara ini juga mesti diasaskan kepada kepercayaan, persefahaman dan cita-cita bersama antara pelbagai kaum, bukannya ketakutan, kebencian atau perpecahan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79