Politik Khidmat Bakti Dr Fathul Berterusan Untuk Rakyat Kangar

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya meneruskan politik khidmat bakti buat penduduk di kawasan dengan menyantuni rakyat melalui program-program yang dihadiri serta pertemuan secara santai.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau meluahkan keterujaan apabila berkesempatan bersama rakyat melalui Program Semarak Komuniti Dan Sukaneka yang berlangsung di Padang Taman Kemajuan, di Kangar.

“Program ini berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sukaneka, jualan Rahmah, pertandingan mewarna kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan dan cabutan bertuah.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kelab Pemuda Taman Kemajuan dengan kerjasama KRT Taman Kemajuan atas penganjuran program yang bermanfaat ini,” katanya.

Terdahulu menerusi perkongsian berbeza beliau turut sama berkongsi kunjungan beliau ke rumah waris Allahyarham Mat John @ Ahmad bin Senapi di Taman Dato Wan Ahmad, Bintong yang meninggal dunia baru-baru ini.

Beliau dalam kunjungan tersebut meluahkan simpati kepada waris atas kehilangan insan tersayang, di samping menitipkan kata-kata semangat dan mendoakan Allahyarham ditempatkan bersama orang yang soleh.

“Menyampaikan ucapan takziah dan sokongan moral kepada ahli keluarga. Kehilangan insan tersayang pastinya satu ujian yang berat, namun kami berharap keluarga Allahyarham terus diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi saat duka ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” ujar beliau.

Pada kesempatan yang sama, Dr Fathul turut sama memanfaatkan masa tersebut dengan menziarahi Norhashimah yang berhadapan ujian kesihatan apabila menghadapi penyakit kanser sarcoma.

Beliau pada pertemuan tersebut turut sama mengenalpasti bantuan yang diperlukan Norhashimah bagi memudahkan pergerakkannya dalam menjalani kehidupan seharian.

“Sebelum ke Mesyuarat Cawangan, saya dan Sahabat-sahabat Bahagian sempat singgah di RPA Kangar, menziarahi Kak Norhashimah. Beliau menghidap kanser sarcoma dan akan menjalani rawatan radioterapi dalam masa terdekat.

“Hasil lawatan mendapati beliau memerlukan sebuah kerusi roda bagi memudahkan pergerakan harian. Insya allah kita akan bantu sedaya yang kita mampu.

“Sama-sama kita doakan semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan yang sempurna, melimpahkan rahmat dan kekuatan jiwa buat kak Norhashimah. Semoga setiap kesakitan yang dilalui menjadi penghapus dosa dan digantikan dengan nikmat kesihatan yang lebih baik,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79