Akar Umbi Mesti Bersatu Hati, Tolak Anasir Yang Mahu Pecah-belah Kesatuan Parti
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Rais Yasin berkata sempena persidangan tahunan di peringkat cawangan ini, ahli di peringkat akar umbi mesti bersatu hati dan menolak sebarang anasir yang mahu memecah-belahkan kesatuan parti.
Ujar Exco Kerajaan Negeri Melaka itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli untuk terus memperkukuhkan parti dan seterusnya mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
“Saya terus menegaskan dalam sesi ucapan tentang betapa penting untuk kita bersatu hati dan tidak sesekali mengizinkan anasir luar memecah-belahkan kesatuan UMNO Tangga Batu. Sekali lagi diingatkan kepada akar umbi supaya mengenangkan betapa peritnya fasa kekalahan Parti UMNO lalu dan jangan lagi diulang sejarah hitam tersebut.
“Bersyukur dan teruskan berkhidmat dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat sekarang. Inilah tanggungjawab terbesar kita untuk terus memperkukuh kekuatan parti bermula di peringkat cawangan-cawangan supaya parti keramat kekal utuh, demi membela nasib rakyat,” kata Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput dalam satu perkongsian di Facebook.
Malam tadi, Rais selaku Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu yang merasmikan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Bukit Kechil, Cawangan Bukit Rambai dan Cawangan Paya Lebar teruja dan bersyukur dengan semangat ahli yang hadir.
Tambah Rais, beliau juga mengingatkan kepada akar umbi UMNO bahagian agar sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang bakal menjelang.
“Ingatlah betapa pentingnya peranan yang wajib dimainkan oleh jentera parti supaya kita dapat mempertahankan kemenangan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Ayuh, kita terus perkukuh kesatuan, semarakkan semangat perjuangan dan pastikan Tangga Batu kekal menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN). Bersama kita bangkit, demi Agama, Bangsa dan Tanah Air,” katanya.
Terdahulu pada sebelah petang, Rais telah merasmikan tiga Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Solok Tangga Batu, Bukit Salleh dan Pantai Rombang.
Pada 12 Mac lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan bagi tahun ini bermula pada 7 April hingga 25 Mei ini.
Manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 9 Jun hingga 27 Julai dan 20 Ogos hingga 23 Ogos bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025. – UMNO ONLINE