Komitmen Tinggi, Disiplin Luar Biasa Jadi Kekuatan Bomba
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Dengan tema “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara”, kita mengiktiraf komitmen tinggi dan disiplin luar biasa yang menjadi kekuatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selama ini.
Ujar Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tanpa mereka, keselamatan awam dan ketenteraman negara tidak akan terpelihara.
“Setiap kali siren kecemasan berbunyi, para anggota bomba tidak pernah bertanya siapa yang harus diselamatkan. Mereka terus mara, berdepan api, banjir, runtuhan dan pelbagai tragedi demi satu tujuan iaitu menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat Malaysia.
“Hari ini, bersempena Hari Bomba Sedunia 2025, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, para perwira yang tidak mengenal siang dan malam dalam menjalankan amanah mereka,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya.
Selanjutnya, Ahmad Zahid juga mengucapkan terima kasih atas setiap pengorbanan, keberanian dan semangat waja yang ditunjukkan oleh mereka saban waktu.
“Semoga seluruh warga bomba terus diberi kekuatan dan perlindungan dalam menjalankan tugas yang mulia ini. Insya-Allah.
“Selamat Hari Bomba Sedunia 2025,” ujarnya. – UMNO ONLINE