Ahmad Zahid Tidak Pernah Lupa Perjuangkan Nasib Najib – Megat Zulkarnain

BAGAN DATUK, 4 Mei – Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin menegaskan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah lupa memperjuangkan nasib mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Bagan Datuk, beliau menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kerana telah diberikan peluang untuk berkongsi ‘untold story’ mengenai Datuk Seri Najib kepada akar umbi.

“Ini dilakukan supaya dapat sama-sama kita muhasabah dan fahami perkara-perkara yang bermain di fikiran sebahagian akar umbi serta sedikit sebanyak menjelaskan perkara-perkara yang mungkin selama ini terperangkap dalam pemikiran ahli parti.

“Saya menyentuh beberapa perkara penting antaranya isu berkenaan kononnya Datuk Seri Zahid telah melupakan Datuk Seri Najib.

“Saya telah menjawab dengan jelas kewujudan dan kepengetahuan berkenaan titah adendum kepada ahli parti. Masyarakat umum tidak akan tahu… kalau tidak dengan pengorbanan atas keberanian Ahmad Zahid menandatangani afidavit, menyatakan bahawa beliau telah melihat titah tersebut,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, banyak perkara yang telah disalah ertikan oleh rakyat berkaitan isu berkenaan dan penjelasan dibuat ternyata mampu untuk memberi kefahaman yang lebih meluas kepada mereka.

“Banyak perkara yang saya fikir telah disalah erti dan disalah anggap. Saya bersyukur kerana rata-rata akar umbi memahami. Saya sebut tadi ada beberapa perkara yang tidak perlu saya sebutkan di luar. Apa sahaja berkaitan dengan Datuk Seri Najib sentiasa menjadi keutamaan kepada Presiden kita.

“Keberanian Datuk Seri Zahid sebagai Presiden ini terserlah apabila beliau menandatangani afidavit yang menyatakan titah tersebut wujud. Ini semua hanya kerana nilai persahabatan dan setiakawan dalam bersahabat.

“Apatah lagi beliau telah berjanji dalam Perhimpunan Agung UMNO. Jadi, janganlah kita selalu salah anggap dan akhirnya ia memberi masalah kepada parti dan orang luar pula suka menghasut. Saya tengok orang dalam Perikatan Nasional (PN) ini menghasut maka kita di dalam parti jangan termakan dengan hasutan ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh ahli dan akar umbi yang akan hadir ke persidangan cawangan untuk memberikan komitmen terbaik bagi memperkasa parti.

“Sememangnya maklumat-maklumat seperti ini penting untuk disampaikan di peringkat cawangan-cawangan. Oleh sebab itu, hari ini dengan adanya hampir semua ketua cawangan dan sayap… sedikit sebanyak mungkin boleh disampaikan dalam ucapan mereka di peringkat cawangan-cawangan.

“Mungkin wakil-wakil bahagian, ahli-ahli jawatankuasa (AJK) bahagian yang hadir ke persidangan cawangan itu juga boleh sedikit sebanyak menambah dan menggunakan apa yang telah disampaikan tadi sebagai ucapan mereka selain daripada amanat ketua bahagian.

“Kepada ahli-ahli yang akan melaksanakan mesyuarat persidangan cawangan masing-masing, ambillah peluang ini sebaik mungkin untuk kita berikan terbaik sebagai ahli yang cukup komited dengan perjuangan parti,” katanya lagi.

Terdahulu, Megat Zulkarnain yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor telah hadir untuk merasmikan mesyuarat berkelompok UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Bagan Datuk.

Turut hadir, Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Khairuddin Tarmizi, Naib Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Shahrul Zaman Yahya, barisan kepimpinan empat peringkat bahagian dan cawangan serta barisan kepimpinan UMNO Negeri Selangor yang turut serta. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit