Onn Hafiz Dilantik Pengerusi KEJORA: UMNO Johor Yakin Ia Satu Pengiktirafan, Pacu Kemajuan Negeri
JOHOR BAHRU, 4 Mei – Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi atas pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).
Menurut Ketua Penerangannya Md Israk Abdullah, pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan yang amat besar kepada kepimpinan Menteri Besar, yang sentiasa menunjukkan iltizam dan dedikasi dalam memacu kemajuan serta kesejahteraan rakyat negeri Johor.
“Seluruh barisan kepimpinan dan ahli UMNO Johor yakin bahawa di bawah pimpinan YAB Dato’, KEJORA akan terus diperkasakan sebagai agensi pembangunan yang strategik dan efektif dalam menjayakan aspirasi pembangunan wilayah Johor Tenggara, selaras dengan matlamat memperkukuh ekonomi tempatan, menjamin kesejahteraan sosial dan memperkasakan keseimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar,” kata Md Israk yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya lagi, Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan Onn Hafiz tersebut.
Begitu juga menjunjung kasih juga kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas perkenan dan kepercayaan yang diberikan dalam pelantikan, ujarnya.
“Tidak dilupakan, setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri I merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah atas keyakinan dan sokongan terhadap pelantikan ini,” katanya.
Tambah Md Israk, kepimpinan UMNO Johor serta seluruh ahli UMNO negeri ini akan sentiasa berdiri teguh memberikan sokongan penuh kepada Menteri Besar dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan demi kemajuan negeri Johor dan kesejahteraan rakyat Johor Tenggara secara keseluruhannya.
Turut mengeluarkan kenyataan ucapan tahniah adalah daripada UMNO Bahagian Johor Bahru dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sembrong, yang yakin di bawah Onn Hafiz, KEJORA terus unggul sebagai agensi peneraju transformasi luar bandar yang progresif dan mampan serta menjadi pemangkin utama dalam melonjakkan taraf hidup rakyat Tenggara Johor. – UMNO ONLINE