Kenyataan Pengulas Konservatif AS Tak Tepat, Lihat Kuasa Beli Rakyat
KOTA KINABALU, 3 Mei – Bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Ir Abdul Aziz Julkarnain, menegaskan bahawa kekayaan sesebuah negara tidak hanya boleh diukur melalui angka pendapatan nominal, tetapi perlu mengambil kira kuasa beli rakyat.
Ir Abdul Aziz berkata demikian sebagai respons kepada pengulas konservatif Amerika Syarikat, Bill O’Reilly, yang mendakwa rakyat Malaysia ‘miskin’ kerana pendapatan per kapita lebih rendah berbanding Amerika Syarikat.
Katanya, perbezaan kos sara hidup dan kuasa beli antara kedua-dua negara jelas membuktikan kehidupan sesebuah negara.
“Memang benar gaji minimum di Malaysia hanya sekitar RM1,700 sebulan. Namun, dengan jumlah itu, seseorang masih boleh menyewa bilik (sekitar RM500), makan di luar (nasi campur RM7), menggunakan pengangkutan awam (pas bulanan LRT RM50), dan mendapatkan rawatan di klinik kerajaan (serendah RM1).
“Bandingkan dengan New York City. Gaji minimum AS ialah USD7.25 sejam, tetapi sewa apartmen satu bilik boleh mencecah RM10,000 sebulan. Makan tengah hari biasa mencecah RM60, dan kos pengangkutan awam boleh melebihi RM600 sebulan. Itu belum termasuk insurans kesihatan yang mencecah ratusan dolar.
“Inilah perbezaan antara pendapatan nominal dan ‘Purchasing Power Parity’ (PPP),” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Tambah Abdul Aziz lagi, walaupun pendapatan per kapita Malaysia secara nominal dianggarkan sekitar USD13,000, nilai sebenar kuasa beli rakyat adalah jauh lebih tinggi.
“Pendapatan per kapita Malaysia secara nominal mungkin sekitar USD13,000, tetapi apabila diselaraskan mengikut PPP, nilainya menghampiri USD37,000. Ini bermakna rakyat Malaysia mampu membeli lebih banyak barangan dan perkhidmatan domestik berbanding yang disangka,” katanya lagi.
Seterusnya kata beliau lagi, dalam dunia yang semakin mencabar ramai yang mengejar material tanpa menyedari keseimbangan kehidupan.
“Kekayaan bukan hanya pada angka, tetapi pada kemampuan mengurus dan menikmati hidup dengan bijak,” ujarnya. – UMNO Online