Ayer Kuning Bukti Rakyat Muak Politik Fitnah Dibawa PN

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menyifatkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai signal penolakan terhadap Perikatan Nasional (PN) yang seringkali memainkan politik fitnah.

Katanya ini kerana rakyat kini semakin matang dalam menilai propaganda dibawa pembangkang.

“Saya yakin dan percaya bahawa rakyat hari ini sudah tidak terima dengan politik fitnah, dakyah dan menggunakan media sosial sebagai alat untuk mengelirukan rakyat.

“…terutama apabila PN melabel UMNO dengan sebagai UMDap rakyat dan akar umbi sudah tidak termakan,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Mengulas lanjut beliau berkata rakyat ketika ini sudah memahami senario politik negara terutama membabitkan kerjasama UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ia sebagai medan ujian yang sangat signifikan bahawa apa sahaja isu yang dibangkitkan oleh PN rakyat sudah muak.

“Mereka dahulu sudah diberi peluang mentadbir kerajaan namun gagal dan hari ini cuba hendak memburuk-burukkan UMNO/BN seolah-olah apabila bersama dengan Kerajaan Perpaduan kita tunduk kepada Dap,” ujar beliau.

Bercakap dalam landskap kemenangan BN Azhari berkata kemenangan ini merupakan penanda aras kepada keyakinan rakyat yang semakin mengukuh.

Katanya lagi trek rekod BN dalam melaksanakan agenda rakyat juga memainkan peranan kepada kejayaan dalam mengekalkan kerusi tersebut.

“Kemenangan PRK Ayer Kuning membuktikan bahawa BN masih dilihat sebagai parti yang relevan dan mempunyai trek rekod yang meyakinkan,” katanya.

Terdahulu pada Sabtu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning selepas calon yang dipertaruh, Dr Ustaz Yusri Bakir, diumumkan menang dalam PRK itu dengan majoriti lebih besar 5,006 undi selepas mendapat 11,065 dalam saingan tiga penjuru. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit