Ahmad Zahid Ucap Tahniah Kepada Johan Qari, Qariah Peringkat Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada dua permata ummah yang telah dinobatkan sebagai Johan Qari dan Qariah peringkat kebangsaan bagi tahun ini iaitu Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dari Negeri Perak dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi dari Negeri Terengganu.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO bersyukur Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1446H/2025M yang berlangsung di Kangar, Perlis telah pun melabuhkan tirainya pada malam tadi.

“Insya-Allah, kedua-dua mereka akan menggalas amanah besar mewakili Malaysia di pentas antarabangsa kelak.

“Malaysia pernah melakar kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa dalam bidang tilawah dan hafazan, dan saya percaya dengan bimbingan, doa serta usaha berterusan, insya-Allah kita mampu mengulangi pencapaian tersebut,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam satu catatan di Facebook.

Seterusnya, Ahmad Zahid juga berharap agar kejayaan mereka berdua itu menjadi pendorong kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk mendalami dan mencintai al-Quran, bukan sahaja sebagai bacaan, tetapi juga sebagai panduan hidup.

“Marilah bersama kita membina sebuah generasi yang berjiwa al-Quran, berakhlak mulia dan menjadi rahmat kepada negara serta umat,” serunya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit