UMNO Kedah Sambut Baik Tindakan JHEAIK, Dedahkan Kepada Umum Hasil Siasatan
ALOR SETAR, 2 Mei – UMNO Negeri Kedah menyambut baik langkah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) yang telah mengambil inisiatif menjalankan siasatan berhubung dakwaan menggemparkan berkaitan solat Jumaat bersama makhluk halus (bunian) yang dikaitkan dengan seorang individu dikenali ramai.
Jurucakap Khas UMNO Negeri Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata tindakan ini amat penting bagi mengekang penyebaran fahaman atau kepercayaan yang boleh memesongkan pemahaman masyarakat terhadap ajaran Islam yang sahih.
“UMNO Kedah berharap agar siasatan ini dapat dijalankan secara telus, berlandaskan fakta dan hukum syarak, tanpa sebarang tekanan atau pengaruh politik daripada mana-mana pihak.
“Dalam soal aqidah dan kesucian ibadah, tiada ruang untuk kompromi,” tegas Ketua Penerangan UMNO negeri itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Shaiful Hazizy, UMNO Negeri Kedah turut mendesak agar hasil siasatan ini didedahkan kepada umum, agar tidak timbul lagi kekeliruan atau spekulasi dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini khususnya, dan di Malaysia amnya.
Begitu juga ujarnya, UMNO Negeri Kedah akan terus menyokong sebarang usaha institusi agama negeri dalam mempertahankan ajaran Islam yang murni dan menolak segala bentuk kepercayaan atau amalan yang bercanggah dengan syariat. – UMNO ONLINE