“Soalan Tidak Hantar, Bila Nak Bahas Lari Keluar”
KUALA LUMPUR, 2 Mei – “Soalan tidak hantar, bila nak bahas lari keluar,” bidas Exco Kerajaan Negeri Melaka Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Ujar Dr Akmal, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tempat utama wakil rakyat untuk membawa suara rakyat sama ada melalui soalan jawab lisan mahupun soalan jawab bertulis.
“Tetapi masakan YB (Yang Berhormat) Jailani menyatakan demokrasi sudah mati untuk bawa suara rakyat tetapi bagi sidang Dewan Undangan Negeri yang baru lepas, YB Jailani langsung tidak mengemukakan soalan baik lisan mahupun bertulis.
“Iya tiada langsung soalan yang dikemukakan kepada Dewan dari YB Rembia pada sidang kali ni, kosong!!!” tegas Dr Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah ADUN Merlimau itu lagi, ketika wakil rakyat kawasan lain banyak menghantar soalan untuk membawa suara rakyat di kawasan masing-masing, tetapi Jailani langsung tidak menghantar soalan dan menikmati gaji sebagai wakil rakyat.
“Nak bawa suara rakyat macam mana, jika tempat yang sebenar suara rakyat dibawa tetapi wakil rakyat langsung tidak mengemukakan sebarang soalan, malah keluar Dewan pula dan langsung tidak berbahas ketika diberikan peluang berbahas.
“Soalan tidak hantar, bila nak bahas lari keluar,” bidas Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka itu lagi.
Dalam platform media sosialnya itu, Dr Akmal turut berkongsi jumlah soalan lisan dan bertulis yang dibawa oleh ADUN pembangkang bagi sidang DUN yang baharu sahaja selesai Selasa lepas.
“YB Bemban bertulis 15, lisan 1; YB Sungai Udang bertulis (15), lisan (10); YB Rembia bertulis (0), lisan (0).
“Elok lagi Sungai Udang ada banyak soalan yang dibawa setiap kali bersidang.
“Yang mematikan demokrasi ini adalah wakil rakyat yang menikmati gaji wakil rakyat tetapi langsung tidak membawa suara rakyat!! Pandai-pandailah rakyat menilai ya,” katanya. – UMNO ONLINE