Rintihan Petani Tebing Tembah

WAHAI Pemimpin…

Tanah ini diusahakan dengan penuh kasih sayang, jerih perih dan tulang empat kerat kami selama 19 tahun. Kami berhempas pulas bangunkan tanah ini untuk menyara keluarga. Mungkin RM1,500 – RM2,000 sebulan sedikit bagi kamu, tetapi duit inilah kami dapat menyara anak-anak kami belajar, menyiapkan tempat berteduh kami dan kais pagi petang kami.

Wahai Pemimpin…

Kami sedar tanah ini kamu boleh rampas kerana ianya milik kamu di atas sekeping kertas. Kami juga telah menghantar beribu kertas permohonan sehinggakan jabatan kerajaan seperti Pertanian memberi suntikan modal benih, baja, jalan kebun agar meringankan beban kami dan akhirnya ladang kami ini diiktiraf oleh kerajaan negeri ketika lawatan YB Dr Azman Ibrahim, Exco Pertanian Terengganu pada 2019, sebagai sebuah projek kelompok kelapa pandan yang berpotensi. Kami sangat bersemangat dengan motivasi YB Exco ini dan kami giatkan usaha majukan ladang kami.

Alangkah malangnya kami, permohonan beribu kertas itu telah ditukar oleh pihak kamu untuk dijadikan projek perumahan dek kerana tanah ini telah siap segalanya terutamanya struktur tanah.

Wahai pemimpin…

Kami juga sedar, kamu telah berjanji politik dengan 600 orang peserta untuk diberikan lot tapak perumahan. Persoalannya kenapa tanah kami jadi sasaran? Sedangkan YAB Menteri Besar, telah mengumumkan sebuah Bandar Baharu Durian Mentangau tidak jauh daripada ladang kami, hanya memakan masa 10-15 minit sahaja, malahan keluasannya melebihi 750 hektar yang lebih sesuai untuk tapak perumahan. Lagipun sudah tentu prosesnya lebih mudah kerana kawasan tersebut juga akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan.

Tetapi kamu ceritakan kepada orang ramai terutama di luar Tebing Tembah seolah-olah kamu tiada tanah untuk dimajukan dan tiada pilihan lain. Adakah kami yang zalim pada 600 orang tu?

Wahai pemimpin…

Kamu adalah pejuang Parti Nama Islam… adakah ini termaktub kekal sebagai hukum menurut ajaran Islam? Rampas tanah yang telah dibangunkan secara ramai dan telah mendapat pengiktirafan pihak kerajaan malahan kamu sendiri ada kuasa mutlak untuk luluskan permohonan kami, tapi akhirnya kamu tidak lakukan… kamu langsung tidak mahu bertemu kami, dengar cerita yang betul dari kami, jijik sangatkah permohonan kami ini?

Rakusnya kamu berkuasa, kamu pekakkan telinga dan kamu zalimi kami.

Tengku Haphiz

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit