Pusat Tidak Pernah Tentukan ‘Rakan Politik’ UMNO Sabah

KOTA KINABALU, 2 Mei – UMNO Sabah menegaskan sebarang keputusan berkait kerjasama dengan mana-mana gabungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak pernah dipengaruhi mana-mana pihak termasuk dari pusat.

Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah mempunyai ruang menentukan rakan politik, dengan berpandu pada kuasa autonomi.

“Apa pun keputusan UMNO Sabah, tiada pula yang cuba menyangkal di peringkat pusat, sampai hari ini belum ada gangguan apa-apa. Kuasa autonomi memutuskan Sabah yang menentukan segalanya.

“Baru-baru ini kita (negeri dan pusat) berbincang. Memang apa pun keputusan kita adalah muktamad tetapi dimaklumkan kepada presiden parti,” kata Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Tambahnya lagi, mereka nasihati kuncinya adalah BN-Pakatan Harapan (PH) supaya ada persefahaman di negeri dan pusat.

“Kita tak mahulah sewaktu berkempen nanti, timbalan perdana menteri (Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kempen sebelah sini, perdana menteri (Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim) kempen sebelah sana,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit