Pengundi Ayer Kuning Pilih Politik Rasional, Berhikmah Dan Tolak Penunggang Agama

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning telah memilih Barisan Nasional (BN) untuk mewakili kepentingan politik mereka, ujar Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut Mohamed Khaled, mereka jelas mahukan Malaysia yang pertengahan, politik muafakat yang progresif dan kerajaan yang bertanggungjawab.

“Mereka mengundi politik yang rasional dan berhikmah dan menolak penunggang agama. Mereka menolak fatwa politik bahawa Haji dan Umrah boleh ditangguhkan demi sebuah pilihan raya.

“Bila kalah, Pas, seperti biasa akan memangsakan UMNO dan Dap. Setakat itu sahaja kemampuan pemikiran mereka. Sebenarnya Pas itulah yang telah mensucikan Dap dengan menikahi akan Dap beberapa kali sebelum ini,” tegasnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Mohamed Khaled memberi respon mengenai kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menuduh UMNO kononnya ‘mensucikan’ Dap khususnya dalam siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning baru-baru ini.

Tambah Mohamed Khaled, Pas rangkul erat Dap melalui kerjasama politik Chinese Consultative Committee (CCC), Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

“Masa itu semuanya halal dan diharuskan. Pas sepertinya tidak boleh ‘move on’ setelah berpisah dengan Dap.

“Demikian menebal cinta Pas pada Dap sehingga membuak cemburunya pada siapa jua yang cuba berkawan dengan jandanya,” bidasnya lagi.

Bagi UMNO jelas Menteri Pertahanan itu, politik masa depan Malaysia adalah tentang keberanian mengambil risiko, apalagi dalam landskap politik yang sangat disruptif seperti sekarang.

“Justeru dalam membangun persefahaman politik masa depan, UMNO mesti meneroka segala kemungkinan.

“Termasuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan ia tidak merugikan bangsa Melayu dan Islam, menafikan hak masyarakat majmuk yang lain serta merencatkan cita-cita menjadikan Malaysia negara terbaik,” katanya.

Begitu juga kata Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, PRK Ayer Kuning bukan sekadar kejayaan politik untuk UMNO.

“Ia juga adalah kejayaan moral untuk Barisan Nasional. Ia proses ‘mensucikan’ UMNO dari pelbagai kelemahan lepas untuk menjadi lebih baik. Tahniah Barisan Nasional,” katanya.

Sabtu lalu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir bekas Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional (PN-Pas) yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS (1,106 undi). – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit