UMNO Kedah Desak Tindakan Segera Isu Dakwaan Solat Jumaat Bersama Bunian
ALOR SETAR, 1 Mei – UMNO Kedah hari ini menggesa Pejabat Mufti Negeri Kedah untuk segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan tular berkaitan solat Jumaat bersama makhluk halus (bunian) yang didakwa melibatkan seorang tokoh agama.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, dalam satu kenyataan berkata, dakwaan seperti itu bukan sahaja tidak masuk akal, malah berpotensi mencetus penyelewengan akidah serta mencemarkan kefahaman umat Islam terhadap ibadah asas seperti solat Jumaat.
“Institusi agama seperti Pejabat Mufti tidak boleh dibiarkan dibayangi oleh ketakutan terhadap reperkusi politik. Jika sesuatu yang salah tidak ditegur hanya kerana individu itu mempunyai pengaruh atau pengikut, maka kita sedang merosakkan agama dari dalam,” tegas beliau.
Beliau menekankan bahawa siasatan serta penjelasan rasmi perlu dilakukan secara telus dan berani, tanpa tunduk kepada tekanan politik atau sentimen luar.
Dalam kenyataan itu juga, Shaiful Hazizy menyuarakan komitmen untuk berdiri teguh mempertahankan institusi Pejabat Mufti daripada sebarang campur tangan politik demi menjaga kesucian agama Islam dan memastikan masyarakat mendapat ilmu yang sahih.
“Agama Islam tidak boleh dipermainkan atas nama karamah atau cerita sensasi. Jangan kompromi dengan kebatilan,” katanya lagi. – UMNO Online