Kerajaan Usaha Bangun Infrastruktur Di Perumahan Generasi Kedua Hingga Empat Felda
JEMPOL, 1 Mei – Kerajaan berusaha membangunkan infrastruktur di kawasan perumahan Felda generasi kedua hingga keempat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan menyedari bahawa keperluan perumahan untuk generasi tersebut amat kritikal dan memerlukan bantuan kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, susulan itu, rundingan bersama Kementerian Kewangan akan diadakan bagi membincangkan peruntukan diperlukan untuk melaksanakan projek infrastruktur berkenaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan, Pahang, Johor dan Perak yang telah menyantuni keperluan rumah generasi kedua hingga keempat Felda, cumanya mereka memohon agar infrastruktur untuk masuk ke kawasan perumahan itu dibiayai oleh kerajaan pusat. Insya-ALLAH kita akan ikhtiarkan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Lembaran Kasih Aidilfitri Bersama Warga Felda di Padang Awam Palong 3 yang turut dihadiri anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz dan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata walaupun Felda di bawah Jabatan Perdana Menteri, kementeriannya tetap komited membantu permasalahan yang dihadapi oleh seluruh warga tanah rancangan itu.
“Kerajaan juga komited melunaskan hutang yang ada termasuk dalam sidang belanjawan, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyebutkan hampir RM 1 bilion setiap tahun dibayar oleh Kementerian Kewangan sebagai komitmen untuk menyelesaikan hutang Felda ini,” katanya. – Bernama