‘Jelajah Saling Mengasihi’ Wadah UMNO Lahad Datu Santuni Rakyat
LAHAD DATU, 1 Mei – UMNO Bahagian Lahad Datu meneruskan usaha proaktif dalam menyantuni masyarakat melalui Program ‘Jelajah Saling Mengasihi’ yang digerakkan oleh ketuanya, Sharif Musa Sharif Mabul.
Ujarnya, program ini merupakan inisiatif kemasyarakatan yang bertujuan untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi dan menyampaikan bantuan secara langsung kepada mereka yang memerlukan.
“Jelajah ini merupakan cerminan kepada komitmen sebenar UMNO dalam memastikan rakyat sentiasa diberi perhatian dan tidak terpinggir dalam arus pembangunan serta kebajikan.
“Kepada mereka yang memohon bantuan ke Pejabat UMNO Bahagian Lahad Datu melalui Program ‘Jelajah Saling Mengasihi’, insya-Allah kami akan teruskan usaha ini hingga sampai ke rumah anda. Kami tidak akan berhenti setakat di pejabat sahaja kerana kami turun padang, melihat sendiri keadaan rakyat dan menyampaikan bantuan dari hati ke hati,” ujarnya.
Tegas Sharif Musa pendekatan turun padang secara konsisten ini adalah simbolik kepada nilai kemanusiaan dan semangat gotong-royong yang telah lama menjadi asas perjuangan UMNO.
“Inilah realiti UMNO sebenar iaitu sebuah parti yang sentiasa menyantuni masyarakat, mendengar denyut nadi rakyat dan bersama-sama saling memberikan sokongan agar keperitan hidup tidak ditanggung sendirian.
“Dalam keadaan mencabar, rakyat perlukan sentuhan yang ikhlas, dan itulah yang kami bawa melalui jelajah ini,” katanya.
Terangnya lagi, program ini telah berjalan selama tiga tahun dan memberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, khususnya golongan asnaf dan fakir yang memohon bantuan melalui Pejabat UMNO Bahagian Lahad Datu.
“Sepanjang tempoh itu, pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan secara konsisten sebagai bukti keprihatinan dan komitmen parti terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.
“Setiap lawatan tidak hanya tertumpu kepada pemberian bantuan, tetapi juga menjadi platform untuk mendengar sendiri keluhan serta cadangan daripada rakyat untuk penambahbaikan parti di peringkat bahagian.
“Program ‘Jelajah Saling Mengasihi’ ini dijangka akan diteruskan secara berfasa untuk UMNO menjadi lebih dekat dengan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online