Isu Pencerobohan Tanah Haram Raub, Alam Sekitar Terancam – Adzly Manas

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Pengamal Undang-undang, Adzly Ab Manas kecewa dengan pencerobohan tanah haram yang berlaku di Raub membabitkan tanah rizab milik kerajaan dan tanah rizab hutan.

Tegasnya, kedua-dua tanah itu dilindungi dengan Kanun Tanah Negara (KTN) dan Akta Perhutanan Negara 1984 yang tertakluk di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri.

Jelasnya, isu pencerobohan tanah untuk tanaman durian itu sudah tentu memberikan implikasi terutama dalam aspek alam sekitar.

“Pencerobohan tanah itu akan mengakibatkan kerugian kepada alam sekitar kerana hutan beribu ekar ditarah untuk tanaman pokok durian tanpa kawalan dan tidak mematuhi prosedur sepatutnya.

“Kepada penceroboh mereka telah mendapat nikmat dengan menuai hasil dari tanah ini hampir puluhan tahun tanpa perlu membayar apa-apa cukai kepada kerajaan, tidak seperti pemilik tanah bergeran yang perlu membayar cukai tanah pada setiap tahun.

“Ini sudah tentu merugikan kerajaan kerana hasil perhutanan dan cukai tidak dapat dikutip,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Adzly yang juga Pengerusi Biro Perundangan, Perlembagaan dan Pilihan Raya UMNO Bahagian Sungai Buloh berkata kerajaan negeri mempunyai kuasa yang penuh untuk menentukan sama ada tanah tersebut akan disimpan atau diserahkan kepada mana-mana pihak yang dianggap layak.

“Tanah yang diceroboh perlu diserahkan kembali kepada kerajaan yang berhak. Kerajaan Negeri berhak untuk menyimpan tanah ini atau diserahkan secara getan tanah kepada pemilik yang mereka rasakan sesuai.

“Sebagai peneroka asal bukan merit utama syarat pemberian hak milik tanah ini perlu diserahkan kepada peneroka asal tersebut.

“Ini merupakan undang-undang yang jelas dan mantap. Dengan itu penceroboh tidak mempunyai hak kepada apa yang mereka usahakan termasuk tanaman dan bangunan,” katanya lagi.

Seterusnya kata beliau, pekebun haram juga tidak boleh menggunakan Rancangan Buku Hijau (RBH) yang dilancarkan Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 20 Disember 1974, sebagai bahan pembelaan di mahkamah.

“RBH bukan undang-undang. Jadi pekebun itu tidak boleh gunakan RBH untuk tuntut hak mereka (meneroka tanah itu atas tiket RBH) di mahkamah,” jelas beliau.

Tambah Adzly mencadangkan isu berkenaan diselesaikan secara situasi menang-menang dan harmoni.

“Jika penceroboh ini bijak dalam perniagaan, supaya mereka bertemu dan berbincang secara bijaksana dengan pihak kerajaan negeri dengan mengesyorkan cadangan yang menang-menang, munasabah dan bersivil.

“Konsep keluhuran undang-undang pada rukun negara perlu dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia apalagi jika seseorang itu berstatus wakil rakyat. Cara penyelesaian harmoni ini, sudah tentu boleh membawa keuntungan kepada hasil kerajaan dan penceroboh,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit