Sumbangan Prihatin UMNO Beaufort Bukti Komitmen Kepada Masyarakat

BEAUFORT, 30 April – UMNO Bahagian Beaufort terus mengekalkan komitmen menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, agama, mahupun fahaman politik.

Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, pelbagai inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan terus digerakkan secara aktif dan berterusan bagi memastikan rakyat di kawasan terbabit tidak tersisih daripada perhatian dan sokongan.

Beliau memaklumkan, gerak kerja menerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Beaufort yang dipengerusikan oleh Md Rashid Mathon yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Beaufort, memainkan peranan penting dalam melaksanakan misi khidmat bakti kepada rakyat.

“Antara bentuk bantuan yang disampaikan termasuk bantuan kewangan kepada keluarga yang mengalami musibah, sumbangan perkahwinan bagi pasangan yang kurang berkemampuan, serta bantuan kecemasan dalam situasi yang memerlukan,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, baru-baru ini, pergerakan khidmat kebajikan telah diteruskan di DUN Klias dengan menyantuni waris keluarga Allahyarham Riskin Banin, yang telah kembali ke rahmatullah.

“Rombongan yang diketuai oleh Md Rashid bersama barisan Jawatankuasa Biro Kebajikan telah menyerahkan sumbangan prihatin sebagai tanda kasih dan keprihatinan mewakili seluruh keluarga besar UMNO Bahagian Beaufort.

“Kita percaya bahawa kekuatan parti bukan sahaja bergantung kepada perjuangan politik, tetapi juga sejauh mana kita dapat menyantuni rakyat dalam saat mereka memerlukan. Prinsip ‘khidmat untuk rakyat’ terus menjadi pegangan utama dalam memastikan UMNO kekal relevan dan dekat di hati masyarakat,” katanya lagi.

Maklumnya lagi, UMNO Bahagian Beaufort akan terus digerakkan daam pelbagai gerak kerja sebagai bukti bahawa parti ini sentiasa hadir bersama rakyat di waktu senang mahupun susah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit