Rais Tegaskan Komitmen Kerajaan Melaka Bangunkan Negeri Berdaya Saing, Sejahtera Dan Lestari

AYER KEROH, 30 April – Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin, menyatakan sokongan penuh terhadap usul Ucapan Perasmian Pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Melaka pada Isnin.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa usul tersebut bukan sekadar satu formaliti, sebaliknya mencerminkan iltizam kerajaan negeri dalam memacu Melaka ke arah masa depan yang lebih stabil, sejahtera dan berdaya saing.

Jelasnya, antara pencapaian yang dibangkitkan termasuk pelaburan negeri yang melonjak melebihi RM8 bilion serta kejayaan pelaksanaan zon bebas kenderaan dan sektor pelancongan, TVET serta digitalisasi luar bandar.

“Setiap pengiktirafan yang diterima negeri bukanlah datang secara kebetulan, tetapi hasil usaha pentadbiran yang konsisten dan menyeluruh dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan kemudahan infrastruktur serta penyatuan tenaga kerja pelbagai agensi,” ujar beliau.

Rais turut memuji pendekatan kerajaan negeri yang turun padang dan berjiwa rakyat melalui program seperti Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang terbukti berjaya menyelesaikan isu setempat secara efektif.

“Melalui pelan strategik Melakaku Maju Jaya 2035, kadar pencapaian pelaksanaan dasar melebihi 90 peratus membuktikan bahawa segala inisiatif kerajaan tidak hanya kekal di atas kertas, tetapi telah dirasai secara langsung oleh rakyat.”

Dalam aspek kelestarian, beliau menyatakan bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka telah meraih 32 anugerah pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2024, termasuk 26 pengiktirafan Diamond.

“Ini adalah pencapaian penting dalam menyokong sasaran negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050.”

Ujarnya, dari segi pelancongan, negeri Melaka mencatatkan lebih 15 juta pelawat dan menjana pendapatan RM12.68 bilion, manakala dalam sektor kesihatan, inisiatif PARAKOM (Paramedik Komuniti) dilihat sebagai bukti pendekatan holistik dan berteraskan komuniti yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Usul ini bukan sahaja mencerminkan kepimpinan yang berpandangan jauh, malah menzahirkan komitmen kerajaan untuk terus memelihara kebajikan rakyat serta memperkukuh kedudukan negeri sebagai contoh kemajuan yang inklusif dan mampan,” tegas beliau.

Beliau mengakhiri ucapan dengan menyeru seluruh Ahli Dewan supaya bersatu hati menyokong usul yang dibentangkan demi kemajuan dan kesejahteraan negeri Melaka. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79