Konvokesyen Kali Pertama Sekolah Patriotik UMNO 11 Mei

KUALA LUMPUR, 30 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu akan mengadakan Konvokesyen Sekolah Patriotik bersempena sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-79, 11 Mei depan.

“Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada malam ini telah mengadakan perbincangan dan memperincikan perkara-perkara berikut antara lain mengenai Konvokesyen Sekolah Patriotik.

“Konvokesyen ini adalah kali pertama bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-79 pada 11 Mei 2025 bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre (WTC),” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, di sini, malam ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut serta Naib-naib Presiden dan barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang lain.

Dr Asyraf seterusnya menambah parti itu juga menyokong penjenamaan semula Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Ini akan dimasyhurkan secara rasmi pada 12 Mei 2025 oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang bertanggungjawab kepada MARA, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini adalah sebahagian daripada pengiktirafan terhadap segala jasa dan sumbangan besar bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit