Komitmen Kerajaan Madani: Azmawi Fikri Hargai Usaha Realitikan ‘Nenggiri Kita’

GUA MUSANG, 30 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan setinggi-tingginya kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas komitmen padu terhadap pembangunan luar bandar, khususnya di kawasan Nenggiri.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan itu, pelbagai inisiatif pembangunan yang diumumkan oleh Presiden UMNO baru-baru ini menjadi bukti nyata bahawa Kerajaan Madani benar-benar menjiwai denyut nadi rakyat, termasuk masyarakat di pedalaman.

“Pengumuman pelbagai inisiatif pembangunan oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, termasuk pembukaan semula Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Gua Musang, pembinaan Masjid Mukim Jerek dengan peruntukan RM1.5 juta, serta projek pembinaan jambatan batu 10 di Nenggiri dengan peruntukan RM2 juta, adalah bukti komitmen Kerajaan Madani dalam membela nasib rakyat luar bandar.

“Saya melihat inisiatif-inisiatif ini bukan sekadar memenuhi keperluan asas malah mencipta ekosistem baru pembangunan pendidikan, ekonomi dan sosial yang mampan untuk generasi hari ini dan masa depan. Ia menjadi bukti bahawa rakyat di pedalaman seperti di Nenggiri tidak pernah dipinggirkan daripada arus pembangunan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang itu menegaskan komitmen untuk terus berkhidmat dan memperjuangkan nasib rakyat di kawasan ini.

“Saya dengan sepenuh hati akan terus berkhidmat, berjuang dan memastikan semua rakyat terbela serta mendapat manfaat yang maksimum dengan sewajarnya. Sekali lagi, terima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas komitmen, perhatian dan kepimpinan yang berjiwa rakyat.

“Semoga usaha murni ini menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan berterusan untuk Nenggiri dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Dengan semangat ‘Nenggiri Kita’, beliau menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama mendukung agenda pembangunan demi kesejahteraan bersama.

Terdahulu Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut mengumumkan sebanyak 30 kedai MARA dan KESEDAR akan disediakan di DUN Nenggiri dalam usaha membangunkan kawasan berkenaan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit