Kemenangan BN Di PRK Ayer Kuning Pacu Semangat Baharu Teruskan Perjuangan – Norliza

KUALA LUMPUR, 30 April – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning disifatkan sebagai suntikan semangat yang amat bermakna buat UMNO dan BN dalam meneruskan perjuangan politik, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kemenangan itu bukan sahaja mencerminkan keyakinan rakyat terhadap parti, malah menunjukkan bahawa UMNO/BN masih lagi relevan dan diyakini oleh masyarakat di peringkat akar umbi.

“Kemenangan ini adalah bukti jelas bahawa kerja keras, kesepaduan jentera dan semangat kerjasama antara semua peringkat dalam UMNO dan BN mampu membuahkan hasil yang cemerlang. Ia memberi mesej bahawa kita bukan sahaja bersedia, tetapi juga mampu untuk kembali menjadi pilihan utama rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir yang berjaya memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dan menyifatkan kemenangan itu sebagai isyarat positif terhadap kekuatan gabungan parti serta komitmen seluruh jentera, khususnya sayap Wanita UMNO yang memainkan peranan penting dalam mobilisasi pengundi.

“Wanita UMNO telah membuktikan bahawa kehadiran mereka di lapangan memberi impak besar. Mereka turun padang, mengetuk pintu, menyantuni rakyat, dan membawa mesej parti secara berhemah dan berkesan. Gerak kerja ini akan kita teruskan dan perhebatkan menjelang PRU-16,” jelas beliau.

Norliza menegaskan, kemenangan ini perlu dijadikan titik tolak kepada pengukuhan semangat juang dan solidariti dalam kalangan ahli parti di seluruh negara.

Katanya, kejayaan di Ayer Kuning perlu menjadi contoh bagaimana kekuatan sebenar UMNO/BN terletak pada perpaduan dan keikhlasan dalam bekerja untuk rakyat.

“Ini bukan masa untuk mendabik dada, sebaliknya masa untuk menggandakan usaha. Kemenangan ini bukan penghujung, tetapi permulaan kepada misi lebih besar iaitu memastikan UMNO/BN kembali menjadi tulang belakang pentadbiran negara. Kita perlu terus menyantuni rakyat dan memahami denyut nadi mereka,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru agar semua peringkat kepimpinan dan jentera parti untuk terus memperkukuhkan rangkaian kerja di setiap kawasan serta menyusun strategi lebih ampuh dan inklusif agar kesiapsiagaan menjelang PRU-16 dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kita tidak boleh leka. Setiap kemenangan adalah tanggungjawab yang lebih besar. Kesepaduan, disiplin dan semangat kerja berpasukan inilah yang akan membawa kita menuju kejayaan lebih besar pada masa hadapan,” tegas beliau.

Untuk rekod BN berjaya mengekalkan kerusi DUN Ayer Kuning, dengan majoriti 5,006 undi, Sabtu lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit