Ahmad Zahid Ucap Selamat Tunai Ibadah Haji Kepada Jemaah Malaysia
KUALA LUMPUR, 30 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah dan selamat berangkat kepada jemaah Malaysia yang menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO turut sama mendoakan agar kesemua jemaah untuk terus diberi bimbangan Allah SWT dalam menunaikan ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.
“Alhamdulillah, para jemaah haji Malaysia telah mula berangkat ke Tanah Suci secara berperingkat bagi menunaikan ibadah haji.
“Seramai 284 jemaah telah selamat berlepas awal pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah dan selamat berangkat kepada seluruh jemaah Malaysia bagi musim haji tahun ini.
“Saya mendoakan agar semua jemaah dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan, serta mendapat bimbingan dan perlindungan Allah SWT sepanjang berada di Tanah Suci.
“Semoga ibadah yang dilaksanakan diterima dan dikurniakan haji yang mabrur, insya-Allah.
“Selamat menunaikan rukun Islam kelima. Kami di tanah air sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan tuan-tuan dan puan-puan sepanjang perjalanan suci ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Kumpulan pertama 284 jemaah haji Malaysia, termasuk 31 petugas, tiba di Madinah, awal pagi Isnin.
Mereka terdiri daripada jemaah yang berlepas dari stesen Alor Setar di Kedah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, Selangor.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan untuk membawa 31,600 jemaah haji ke Tanah Suci bagi musim haji 1446H/2025. – UMNO Online