ADUN Juasseh Tekankan Pentingnya Pemerkasaan Wanita Dan Kanak-Kanak

SEREMBAN, 30 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid menekankan kepentingan pemerkasaan wanita dan kanak-kanak dalam pembangunan Negeri Sembilan serta peningkatan akses kepada perkhidmatan kesihatan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.

Dalam sesi perbahasan sempena Persidangan Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan ke-15 pada Isnin, beliau berkata program pemberdayaan wanita harus diperkukuhkan melalui latihan kemahiran, sokongan keusahawanan serta inisiatif kesihatan yang menyeluruh.

“Wanita di Negeri Sembilan perlu diberikan peluang untuk memainkan peranan yang lebih signifikan dalam pembangunan ekonomi dan sosial negeri. Ini boleh dicapai melalui program-program strategik dan kerjasama pelbagai pihak,” ujar beliau.

Beliau turut menekankan kepentingan penyediaan pendidikan komprehensif dan berkualiti untuk kanak-kanak, di samping memperluaskan program kesihatan, kebajikan dan keselamatan bagi menjamin kesejahteraan golongan tersebut.

“Melihat kepada kebimbangan terhadap peningkatan kes-kes seksual melibatkan kanak-kanak, saya menyokong saranan Menteri KPWKM, YB Nancy Shukri, tentang keperluan pendekatan pendidikan seks yang menyeluruh. Saya mencadangkan agar program-program kesihatan dan pendidikan khas untuk kanak-kanak diperluas dengan kerjasama NGO seperti UNICEF Malaysia dan UNFPA,” tambahnya.

Dalam ucapan yang sama, Puan Sri Bibi Sharliza turut menegaskan perlunya penambahbaikan akses kepada perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar serta memperkukuh program kesihatan mental demi kesejahteraan psikologi rakyat.

“Dengan perkhidmatan kesihatan yang baik dan menyeluruh, kita mampu memastikan setiap rakyat Negeri Sembilan menerima penjagaan kesihatan yang berkualiti tanpa mengira lokasi,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit