PRK Ayer Kuning: BN Buktikan Sokongan Rakyat Semakin Kukuh – Sollehin
KUALA LUMPUR, 29 April – Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning telah melabuhkan tirai dan keputusan rasmi sudah pun diperoleh apabila calon UMNO/Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir telah memperolehi 11,065 ribu undi manakala Pas memperoleh 6,059 undi.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata keputusan ini menunjukkan bahawa BN kembali menjadi pilihan ramai di Ayer Kuning dan kekal biru.
Ujarnya, walaupun terdapat pelbagai alasan yang diberikan oleh pihak Perikatan Nasional (PN) dengan pelbagai dakwaan namun yang pasti BN mempertahankan DUN Ayer Kuning.
“Walaupun jumlah keluar mengundi yang sangat rendah pada PRK Ayer Kuning ini tapi peratusan sokongan kepada BN melebihi 50 peratus. Ini adalah satu bukti yang tidak boleh dinafikan bahawanya sokongan undi popular menyebelahi parti UMNO/BN.
“Alangkah sedihnya buat PN apabila terdapat beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mana parti itu menduduki nombor tiga di bawah Parti Sosialis Malaysia (PSM). Itu adalah satu keadaan yang sangat mengejutkan memandang PN adalah gabungan parti yang besar tapi kalah kepada parti kecil seperti PSM.
“PN perlulah buat ulangkaji, ‘study’ semula, muhasabah diri dan kemungkinan pendekatan mereka yang begitu kasar dan tidak digemari pengundi-pengundi Ayer Kuning serta rakyat Malaysia khususnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Sollehin yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia menasihati PN agar jangan selalu memainkan sentimen 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang semakin tidak diterima dan digemari rakyat Malaysia.
“Sentimen yang dimainkan 3R (agama, kaum dan institusi diraja) oleh PN, acap kali pada setiap pilihan raya dan rakyat sudah muak serta tidak boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia.
“Buat PN… selamat menjadi pembangkang, teruskan belajar menjadi pembangkang yang baik. Mudah-mudahan mampu menarik minat hati orang Malaysia keseluruhannya,” katanya lagi.
Sollehin turut menzahirkan penghargaan buat seluruh jentera UMNO/BN yang sentiasa bertungkus-lumus bagi memastikan kemenangan calon BN.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih buat semua jentera parti yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan calon BN di PRK Ayer Kuning.
“UMNO tidak pernah lari dari asas perjuangan walau apa telahan dan juga tohmahan, UMNO konsisten sebagai parti yang memperjuangkan nasib rakyat, agama, bangsa dan tanah air,” jelasnya.
Untuk rekod, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online