Pembangunan Nenggiri Bukti Tekad Kerajaan Madani Memimpin Dengan Hati – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 29 April – Kemajuan yang dikecapi oleh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menjadi bukti kepada tekad Kerajaan Madani yang memimpin dengan hati dan membangun penuh makna.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa beliau telah mengumumkan beberapa inisiatif untuk memperkasa komuniti di kawasan tersebut.
“Tahun lalu, rakyat di DUN Nenggiri telah memilih untuk memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) melalui kemenangan Azmawi Fikri. Ketika itu, saya menyatakan hasrat, sekiranya mandat diberi, saya akan kembali ke sini.
“Alhamdulilah hari ini saya kembali ke Nenggiri. Kepulangan saya ke Gua Musang kali ini bukan sekadar kunjungan Aidilfitri, tetapi lambang amanah dipikul dan khabar gembira yang dibawa. Saya amat berbesar hati dapat kembali menyantuni, lebih-lebih lagi dalam suasana penuh kemesraan dan kasih sayang Syawal yang kian melabuhkan tirainya.
“Saya turut berbangga dengan kesungguhan ‘Budok Awi’ yang telah menunjukkan kepimpinan luar biasa dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat di sini. Melihat usaha gigih beliau, saya mengumumkan beberapa inisiatif penting untuk memperkasa komuniti setempat, termasuk peruntukan RM1.5 juta bagi baik pulih Masjid Al Muttaqin di Kampung Jerek Baru, RM2 juta untuk pembinaan sebuah jambatan baharu dan pembinaan sepuluh gerai MARA serta 20 unit kedai melalui KESEDAR akan memperkukuh aktiviti ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO juga menegaskan segala inisiatif yang diumumkan di Nenggiri itu menjadi bukti bahawa janji yang diungkap bukan hanya untuk meraih sokongan sesaat, tetapi ditepati demi kesejahteraan rakyat.
“Menyedari pentingnya pendidikan sebagai asas pembangunan, saya turut mengarahkan Pengerusi MARA untuk menghidupkan semula Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Gua Musang yang telah ditutup sejak 2019. Institusi ini akan diberi nafas baharu supaya dapat kembali menjadi medan menimba ilmu dan membangunkan modal insan di kawasan ini.
“Dalam kesempatan yang sama, saya turut menyaksikan Majlis Menandatangani Borang 14A RKT KESEDAR – lambang kesinambungan dan iltizam kerajaan dalam memajukan tanah-tanah rancangan demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk peneroka serta keluarga mereka.
“Ini adalah bukti nyata bahawa janji yang diungkap bukan untuk meraih sokongan sesaat, tetapi untuk ditepati demi kesejahteraan rakyat berpanjangan. Inilah tekad Kerajaan Madani – memimpin dengan hati, membangun penuh makna.
“Awi, teruskan langkah kamu. Teruslah membawa Nenggiri dan seluruh masyarakat Gua Musang menuju sebuah masa depan yang lebih cerah, lebih sejahtera, dan lebih makmur. Insya-Allah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut berkesempatan untuk hadir bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Khidmat Nenggiri kita yang bakal menjadi wadah untuk memudahkan segala urusan rakyat.
“Selesai agenda utama saya di Nenggiri, saya berkesempatan untuk hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Khidmat Nenggiri Kita di Dataran Awam Kampung Jerek, Gua Musang.
“Pusat ini diharap menjadi wadah yang memudahkan urusan rakyat, merapatkan perkhidmatan Kerajaan dengan komuniti, serta menyediakan ruang yang berkesan untuk menyalurkan aduan, cadangan dan aspirasi masyarakat Nenggiri.
“Tahniah saya ucapkan kepada Azmawi Fikri dan seluruh pasukannya. Saya doakan kejayaan dan kesejahteraan yang melimpah ruah buat seluruh warga Nenggiri. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online