MARA Bakal Perkenal Polisi Pembiayaan Kepada Pelajar Cemerlang SPM, Huffaz
KUALA LUMPUR, 29 April – Setiausaha Agung UMNO yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan institusi itu akan memperkenalkan polisi pembiayaan pembelajaran kepada para pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkelayakan.
Beliau berkata ia akan ditawarkan bukan hanya kepada para pelajar MRSM Ulul Albab bahkan juga kepada pelajar huffaz daripada sekolah di bawah Kerajaan Negeri mahupun persendirian.
“Saya sudah minta Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA untuk masukkan dalam polisi penawaran pembiayaan pembelajaran untuk tahun ini dan mendatang.
“Inisiatif ini bukan hanya terhad kepada pelajar-pelajar MRSM Ulul Albab yang cemerlang tetapi juga kepada pelajar-pelajar Huffaz daripada sekolah SBP, SMKA, SABK, Maahad-Maahad Tahfiz samaada bawah Kerajaan Negeri mahupun persendirian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, matlamatnya untuk melahirkan lebih ramai Huffaz profesional dalam pelbagai bidang strategik berkepentingan negara pada masa depan.
“Insya-Allah negara akan bertambah hebat sekiranya kepimpinan masa depan dalam pelbagai sektor, bidang profesional dan industri dipelopori dan diketuai oleh mereka yang menjiwai, memahami dan menghayati Al-Quran.
“Inilah yang dimaknai dengan konsep Ulul-Albab yang mendepani ummah terbilang (Khaira Ummah),” ujar beliau.
Katanya langkah ini seperti dihasratkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi melalui Dasar Tahfiz Negara. – UMNO Online