Kes Najib: Kebenaran Merayu Prosedur Biasa, Bukan Bermaksud Kalah

Peguam Negara mendapat kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mengembalikan prosiding semakan kehakiman berhubung Titah Adendum ke Mahkamah Tinggi.

Jangan silap faham, Datuk Seri Najib Razak belum kalah.

Apa itu ‘kebenaran merayu‘ 

Di Malaysia, apabila satu pihak ingin membawa sesuatu rayuan ke Mahkamah Persekutuan (mahkamah tertinggi negara), mereka tidak boleh terus merayu secara automatik. Sebaliknya, mereka perlu terlebih dahulu memohon ‘kebenaran merayu’ (leave to appeal) daripada Mahkamah Persekutuan.

Ini adalah satu saringan awal untuk memastikan hanya isu-isu yang penting, baharu, dan melibatkan persoalan undang-undang yang belum diputuskan, boleh didengar sepenuhnya di peringkat tertinggi sebagaimana digariskan dalam Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Courts of Judicature Act 1964).

Menurut Seksyen 96, rayuan ke Mahkamah Persekutuan hanya dibenarkan jika:
– Terdapat isu undang-undang yang penting, atau
– Terdapat isu berkenaan prinsip perundangan yang perlu dijelaskan atau dibangunkan, atau
– Isu tersebut adalah belum pernah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Prosedur ini bukan berkaitan dengan kalah atau menang. Permohonan ini hanya menyentuh soal prosedur, bukan merit kes itu sendiri. Maksudnya, Mahkamah Persekutuan belum lagi mendengar atau memutuskan siapa betul atau salah.

Di peringkat ini, Mahkamah hanya akan menilai sama ada wujud persoalan undang-undang penting yang membolehkan rayuan penuh dijalankan.

Kalau kebenaran (leave) diberikan, barulah Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan tersebut secara penuh. Kalau kebenaran tidak diberikan, maka keputusan Mahkamah sebelum itu kekal.

Dalam konteks Datuk Seri Najib berkaitan kes Titah Addendum, hari ini Peguam Negara mendapat kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini. Ini belum bermaksud Najib kalah. Ia hanyalah langkah permulaan untuk membawa isu undang-undang tertentu ke Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan.

Dengan kata lain, ini adalah sebahagian daripada proses biasa dalam sistem kehakiman, bagi memastikan Mahkamah Persekutuan hanya mendengar kes-kes yang betul-betul penting dari segi perkembangan undang-undang negara.eave to appeal)?


NIK SAIFUL ADLI BURHAN
Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam & Intelek Kelantan.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit