ADUN Jeram Padang Mohon Naik Taraf Jalan Raya Luar Bandar, Sokong Projek Lebuhraya Madani
SEREMBAN, 29 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, memohon Kerajaan Negeri Sembilan agar memberikan keutamaan kepada pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur jalan raya, khususnya di kawasan luar bandar, dalam usaha menyokong sasaran negeri untuk mencapai kutipan hasil negeri RM1 bilion menjelang tahun 2030.
Ketika membahaskan Titah Ucapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dalam Persidangan Pertama Penggal Ketiga DUN Negeri Sembilan yang ke-15, beliau menegaskan bahawa sistem jaringan jalan raya yang mantap dan strategik merupakan asas utama kepada pertumbuhan ekonomi, terutamanya bagi kawasan luar bandar yang menjadi nadi kepada sektor pertanian dan perindustrian.
“Dalam mengejar cita-cita besar ini, saya ingin menekankan bahawa pembangunan infrastruktur jalan raya mesti diberikan keutamaan.
“Tanpa laluan perhubungan yang cekap dan efisien, pembangunan ekonomi luar bandar akan terbantut. Akses jalan yang baik amat penting bagi merangsang pelaburan dan memudahkan pergerakan rakyat,” katanya.
Mohd Zaidy mencadangkan dua langkah utama yang boleh diambil oleh kerajaan negeri dalam usaha menaik taraf jaringan jalan raya iaitu yang pertama, katanya ialah melebarkan jalan-jalan utama sedia ada yang sering menjadi laluan utama penduduk luar bandar, dan kedua, membina jajaran baharu yang dapat menghubungkan daerah-daerah yang tidak mempunyai akses terus ke lebuh raya utama.
Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan projek Lebuhraya Madani, yang bakal menghubungkan daerah Jelebu, Jempol dan Kuala Pilah.
Menurutnya, lebuh raya ini akan menjadi pemangkin utama kepada pembangunan wilayah timur negeri ini serta membantu mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Dalam ucapannya, beliau turut merujuk kepada situasi kesesakan luar biasa yang berlaku di laluan antara Kuala Pilah dan Seremban baru-baru ini, yang telah mendapat perhatian meluas dalam media arus perdana dan mencetuskan keresahan rakyat.
Perkara itu, tegas beliau, menunjukkan keperluan mendesak untuk Kerajaan Negeri segera melaksanakan penaiktarafan menyeluruh terhadap sistem jalan raya sedia ada.
Selain itu, Mohd Zaidy turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan atas kejayaan dalam Pilihan Raya Kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning, yang berlangsung pada hari Sabtu yang lalu.
Beliau merakamkan penghargaan kepada para pengundi di kawasan berkenaan kerana telah membuat pilihan yang bijak demi kestabilan dan kemajuan negara. – UMNO Online