KPTM Gua Musang Dibuka Semula, Fokus Kursus Berasaskan Industri
GUA MUSANG, 28 April – Pusat Pendidikan Tinggi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Gua Musang yang ditutup sejak 2019, bakal dibuka semula dengan penawaran kursus yang lebih relevan dan berdaya saing mengikut keperluan industri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata arahan untuk membuka semula KPTM itu, diberikan selepas mengambil kira keperluan pendidikan tinggi di kawasan luar bandar khususnya di Gua Musang dan seluruh Kelantan.
“Saya telah mengarahkan KPTM ini dibuka semula dan kursus-kursus yang ditawarkan akan disesuaikan dengan kebolehpasaran graduan. Fokus diberikan kepada pelajar-pelajar di sekitar Gua Musang dan Kelantan, untuk mengikuti kursus-kursus yang memenuhi permintaan pasaran kerja.
“Antara bidang yang akan ditawarkan termasuk kursus berkaitan robotik, Internet of Things (IoT), automotif serta program-program lain yang mendapat permintaan tinggi daripada industri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Kesedar di Dataran Awam Kampug Jerek, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata KPTM Gua Musang, sebelum ini ditutup pada 2019 akibat kekurangan pelajar yang berpunca daripada isu pembiayaan dan ketidaksesuaian kursus yang ditawarkan ketika itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerja-kerja awal pemulihan KPTM Gua Musang akan bermula Mei ini, selepas perbincangan dengan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Lokasi pemulihan ini juga akan mengambil kira nasihat pengurusan KESEDAR, supaya pembangunan semula lebih teratur dan memenuhi keperluan penduduk setempat,” katanya. – BERNAMA