Kejayaan BN Cerminan Sokongan Kukuh Di Perak – Dr Zambry
BAGAN DATUK, 28 April – Kejayaan Barisan Nasional (BN) menandakan satu lagi keyakinan rakyat khususnya di negeri Perak dan juga di Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning serta semua pihak khususnya Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengetuai jentera keseluruhannya dan dibantu oleh ‘Friends of BN’ dan Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kejayaan ini juga membuktikan kekuatan jentera parti dan membawa makna tersendiri dalam usaha memperkukuhkan kedudukan menjelang pilihan raya akan datang.
“Kita telah berjaya mengekalkan kemenangan, ini bukan hanya mengekal tetapi menambahkan lagi jumlah undi. Ini perlu mengambil kira dari segi jumlah yang keluar mengundi agak menurun kerana pada mana-mana PRK jumlah yang dijangkakan biasanya tidak akan menurun berbanding dengan Pilihan Raya Umum (PRU).
“Walaupun begitu, BN telah berjaya meningkatkan lagi pencapaiannya. Kalau dulu Allahyarham Ishsam Shahruddin mendapat undi 9,088 tetapi sekarang ini lebih 11 ribu undi. Ini memberikan kemenangan dan satu makna yang tersendiri khususnya dulu di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang BN kalah.
“Terdapat empat PDM yang BN kalah kepada Pas sebelum ini tetapi pada kali ini parti ini berjaya mengambil semula tiga PDM dari empat PDM yang BN tewas pada lalu. Ada juga beberapa PDM yang dimenangi oleh PH lalu tetapi kali ini sudah pasti mereka beri sokongan padu pada BN dan ini menunjukkan kerjasama yang baik,” katanya kepada UMNO Online.
Pada masa sama beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera BN yang bertungkus lumus serta memberikan komitmen yang padu dalam usaha sepanjang pilihan raya ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih pada seluruh jentera BN tidak kira di peringkat pusat mahupun negeri yang mana bekerja sebagai satu pasukan dan ini ditunjukkan oleh semua pimpinan BN yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dibantu oleh pimpinan MCA , Datuk Seri Wee Ka Siong dan juga Timbalan Presiden MIC merangkap Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan.
“Keseluruhan jentera yang ditunjukkan sungguh baik sekali dan bagi pihak BN ingin mengucapkan terima kasih pada semua pihak dan jangan lupa yang bekerja di belakang tabir. Mereka menyusun strategi yang tidak didendangkan dan mereka ini dari awal lagi bekerja menyusun, melihat tempat-tempat PDM, jumlah pengundi, melihat beberapa ramai pengundi yang keluar mengundi dan yang belum keluar.
“Saya juga ingin mengucapkan pada Jalinan Rakyat (JR) Wanita, Puteri dan juga Pemuda yang turut bersama-sama bagi memastikan jentera di peringkat bahagian memainkan peranan yang besar untuk kemenangan ini dan juga tidak ketinggalan negeri-negeri angkat yang datang dari seluruh ini. Ia menunjukkan komitmen UMNO/BN datang memberikan sumbangan tenga bagi memastikan kemenangan calon BN,” ujarnya.
BN berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online