Azalina Wakili Malaysia di Istiadat Pengebumian Negara Paus Francis, Bertemu Pemimpin Dunia

ROM, 28 April – Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said telah mewakili Malaysia dalam Istiadat Pengebumian Negara bagi Paus Francis, Ketua Negara Vatican City, yang berlangsung di Vatican pada Sabtu.

Azalina, yang ketika ini berada di Eropah untuk urusan rasmi, turut mengambil kesempatan bertemu dan berinteraksi dengan beberapa pemimpin utama dunia semasa istiadat penuh penghormatan itu.

“Saya diminta mewakili negara memandangkan saya berada di Eropah untuk menyampaikan kenyataan lisan Malaysia semasa sesi pendengaran awam di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague, berkaitan isu pendudukan Israel di Palestin pada Isnin, 28 April 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara pemimpin yang sempat ditemui Azalina termasuk Presiden Republik Indonesia ke-7, Tuan Yang Terutama Joko Widodo; Presiden Amerika Syarikat ke-46, TYT Joe Biden; serta Presiden Republik Filipina, TYT Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr.

Beliau turut berkesempatan bertemu dengan Menteri Luar dan Sumber Manusia Pakistan, TYT Chaudhry Salik Hussain, yang disifatkan sebagai sahabat baharu, serta sahabat lamanya, TYT Dr. Mohamad Maliki bin Osman, Menteri Luar Negeri II Republik Singapura.

Majlis berkenaan turut disertai oleh pelbagai tokoh dunia termasuk kerabat diraja dari negara-negara Arab dan Eropah seperti DYMM Raja Abdullah dan Permaisuri Rania dari Jordan, Raja dan Permaisuri Sweden dan Sepanyol, Putera Albert dari Monaco, serta YAM Putera William dari United Kingdom.

Antara pemimpin dunia lain yang turut hadir memberi penghormatan ialah Presiden Timor Leste, Presiden Ukraine, Presiden Emmanuel Macron dari Perancis, serta Perdana Menteri dari New Zealand, United Kingdom dan Bangladesh.

Istiadat pengebumian tersebut menjadi simbol penghormatan terakhir masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan dan legasi Paus Francis sebagai tokoh agama dan pemimpin dunia. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit