Ayer Kuning: Rakyat Tolak Politik Fitnah, Matang Menilai
KUALA LUMPUR, 28 April – Politik fitnah, adu domba dan kebencian akhirnya ditolak rakyat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hassan.
Tegasnya, rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini telah membuktikan bahawa mereka tidak termakan permainan emosi dan memilih berdasarkan bakti, bukan janji manis kosong semata-mata.
“Kemenangan ini adalah suara hati rakyat. Mereka melihat siapa yang benar-benar berkhidmat. Siapa yang setia turun padang. Siapa yang sanggup memikul tugas amanah rakyat, walau tanpa sorakan dan tanpa lakonan.
“Terima kasih Ayer Kuning kerana mengajar seluruh negara satu perkara yang cukup penting bahawa rakyat kini semakin matang menilai. Bahawa kebaikan akan tetap bersinar walau cuba diselaputi kabut fitnah.
“Tahniah Barisan Nasional (BN) dan teruskan membela rakyat dengan ikhlas. Kerana akhirnya, rakyatlah hakim sebenar perjuangan kita,” katanya.
Untuk rekod BN berjaya mengekalkan kerusi DUN Ayer Kuning, dengan majoriti 5,006 undi.
Pada persaingan tiga penjuru dalam PRK berkenaan, calon BN Dr Ustaz Yusri Bakir meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung. – UMNO Online